China sahkan jangkitan pertama H10N3 terhadap manusia

H10N3 dianggap sebagai patogenik berisiko rendah kerana tidak berpotensi menyebabkan kematian atau penyakit teruk pada burung. - Foto Agensi
H10N3 dianggap sebagai patogenik berisiko rendah kerana tidak berpotensi menyebabkan kematian atau penyakit teruk pada burung. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - China pada Selasa melaporkan jangkitan pertama di dunia membabitkan virus selesema burung H10N3 terhadap manusia, namun risiko penyebarannya secara meluas adalah rendah.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) memaklumkan individu terbabit yang tinggal di bandar Zhenjiang dimasukkan ke hospital pada 28 April lalu selepas mengalami demam dan simptom lain.

Dia kemudiannya didiagnos menghidap H10N3, namun NHC tidak memberikan butiran lanjut bagaimana lelaki tersebut boleh dijangkiti patogenik tersebut yang tidak berpotensi menyebabkan kematian atau penyakit teruk pada burung.

Menurutnya, pesakit tersebut berada dalam keadaan stabil dan bakal discaj dari hospital manakala kontak rapatnya tidak melaporkan sebarang 'kelainan'.

Sebelum ini, beberapa virus selesema burung telah ditemui pada haiwan di China dan penularannya dalam kalangan manusia adalah jarang berlaku.

Kali terakhir epidemik selesema burung berlaku di Beijing adalah pada akhir 2016 hingga 2017 membabitkan virus H7N9 yang menjangkiti 1,668 individu dan meragut 616 nyawa sejak 2013.

Susulan penularan wabak selesema burung di Afrika dan Eurasia, langkah pengawasan terhadap ladang ternakan, pasar dan burung liar telah dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!