Guru yoga terkenal, Baba Ramdev cetus kemarahan doktor di India
NEW DELHI - Ribuan doktor di seluruh India pada Selasa menggesa penahanan 'guru' popular gara-gara dakwaannya bahawa yoga boleh mencegah jangkitan Covid-19.
Desakan itu dibuat menerusi protes 'Black Day' selepas pengasas empayar perubatan tradisional terkemuka di New Delhi, Baba Ramdev terbabit mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai pada bulan lalu dengan menyatakan kononnya ubat-ubatan moden telah meragut ratusan ribu nyawa pesakit wabak tersebut.
Ramdev juga dengan angkuh menyatakan dia tidak memerlukan suntikan vaksin kerana dirinya sudah dilindungi oleh yoga dan ubat-ubatan tradisional atau Ayurveda.
Penyokong kuat Perdana Menteri, Narendra Modi itu dengan selamba menggelar perubatan moden sebagai 'sains bodoh dan gagal' hingga mencetuskan kemarahan persatuan doktor di hospital kerajaan terbesar di ibu negara, All India Institute of Medical Sciences (AIIMS).
Gambar dikongsi di media sosial menunjukkan para doktor terbabit turut membawa plakad dan beberapa yang lain lengkap memakai sut perlindungan diri (PPE) yang tertera '#tahanRamdev' di belakang tubuh mereka.
Difahamkan, syarikat Patanjali Ayurved milik Ramdev yang bernilai ratusan juta dolar menjual pelbagai produk termasuk ubat gigi dan seluar jean.
Pada awal tahun lalu, ia melancarkan ubat herba digelar Coronil yang didakwa kononnya dapat merawat Covid-19 malah acara pelancarannya turut dihadiri Menteri Kesihatan.
Firma itu yang berada di tangga ke-13 untuk jenama paling dipercayai di India juga dikatakan mempunyai ubat untuk merawat barah selepas Ramdev mendakwa dia boleh 'menyembuhkan' Aids dan masalah homoseksual. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!