Thailand lancar ujian klinikal vaksin mRNA ke atas manusia
BANGKOK - Thailand akan melancarkan ujian klinikal ke atas manusia untuk vaksin Covid-19 buatan tempatan pada bulan ini selepas kajian praklinikal menunjukkan keputusan memberangsangkan.
Wakil jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata, vaksin Covid-19 RNA (mRNA) dinamakan ChulaCov19 yang dibangunkan Universiti Chulalongkorn telah berjaya dalam percubaan ke atas tikus dan monyet.
"Vaksin ini akan memasuki tahap pertama percubaan klinikal ke atas manusia bulan ini dan jika berhasil, ia akan dikeluarkan secara besar-besaran dalam tahun depan.
"Ini adalah sebahagian rancangan untuk menyediakan lebih banyak bekalan vaksin domestik yang selamat untuk negara ini," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Selasa.
Vaksin Pfizer dan Moderna Covid-19 dibuat menggunakan mRNA yang terbukti sangat berkesan terhadap Covid-19.
Dalam satu temu bual dengan Nature, jurnal sains antarabangsa, Pengarah Pusat Penyelidikan Vaksin Chula, Dr Kiat Ruxrungtham berkata, percubaan fasa pertama akan melibatkan kira-kira 100 orang untuk mengetahui sama ada dos yang diberi sesuai untuk menghasilkan tindak balas imun.
"Kami merancang untuk memulakan ujian klinikal fasa I ke atas manusia pada Jun, dan sudah membangunkan vaksin generasi berikutnya terhadap varian virus B.1.351 dan B.1.1.7.
"Kami juga memantau rapat B.1.617, yang pertama kali muncul di India. Kami gembira usaha itu berhasil setakat ini, tetapi memerlukan lebih dari setahun untuk menjalankan ujian klinikal manusia - ketinggalan hampir setahun di belakang syarikat farmaseutikal utama dunia,” katanya dalam wawancara diterbitkan di www.nature.com.
Mengenai keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembukaan semula perniagaan dan tempat tumpuan di Bangkok, Natapanu berkata Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) telah memutuskan langkah-langkah kawalan yang dikenakan di Bangkok akan dilanjutkan 14 hari lagi hingga 14 Jun berikutan jumlah jangkitan masih tinggi di bandar raya itu.
"Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha sebagai pengerusi CCSA mengarahkan pekerja perniagaan yang ditutup di bawah sekatan harus diutamakan dalam kempen vaksinasi Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA). Ini membolehkan mereka kembali beroperasi secepat mungkin,” katanya.
Semalam, BMA mengumumkan akan melonggarkan sekatan Covid-19 yang membenarkan perniagaan dan tempat tumpuan termasuk taman, pusat urut, klinik kecantikan dibuka semula mulai 1 Jun.
Namun, beberapa jam kemudian, BMA berkata CCSA menolak keputusannya.
Sementara itu, Thailand mencatatkan 2,230 kes baharu Covid-19 dan 38 kematian, dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 162,022 dan 1,069 korban setakat ini.
Jurucakap CCSA, Dr Taweesin Visanuyothin berkata daripada kes baharu itu, 2,209 adalah jangkitan tempatan termasuk 806 pengesanan kes aktif dan 21 kes import.
Katanya, kematian baharu melibatkan 19 lelaki dan 19 wanita berusia antara 46 hingga 88 tahun termasuk 22 di Bangkok, tiga di Nakhon Pathom, masing-masing dua di Samut Prakan, Suphan Buri dan Kalasin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!