Perginya seorang ulama yang dikasihi ramai
ALMARHUM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebelum ini pernah meminta Tan Sri Dr Harussani Zakaria supaya kekal sebagai Mufti Perak sehingga akhir hayatnya.
Ternyata Harussani mengotakan janji itu sampai akhir nafasnya sehinggalah disahkan meninggal dunia pada usia 82 tahun di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Ahad iaitu enam hari selepas dimasukkan ke wad kecemasan akibat Covid-19.
Kehilangan Harussani amat dirasai terutamanya bagi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyifatkan Allahyarham semasa hayatnya sentiasa memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap Raja Pemerintah.
Baginda juga menyifatkan Allahyarham sentiasa memelihara kesopanan untuk memuliakan serta mendaulatkan institusi Raja Berperlembagaan selain mempamerkan sifat seorang ulama, ilmuwan, pendidik dan pendakwah yang berdedikasi dalam mengembangkan syiar Islam.
Kehilangan Harussani juga amat dirasai oleh warga Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar yang menjadi bukti sumbangan dan keringat beliau dalam pembangunan pendidikan Islam di Perak.
Bagi Pengetua Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, Khairul Anwar El Syazalli, 47, sepanjang pengenalannya, Allahyarham merupakan seorang yang suka berkongsi pengalaman hidup untuk dijadikan sebagai pedoman bersama.
Kerjaya polis
“Tahun lepas sebelum beliau sakit, beliau bercerita pengalaman menarik hidupnya daripada awal semasa masuk Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia sehingga akhirnya menjadi Mufti Perak di mana laluan kerjaya yang sangat berbeza.
“Kata-kata beliau yang saya ingati sehingga ke hari ini adalah beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bercakap benar walaupun susah tetapi dengan cara yang berhemah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Khairul Anwar yang merupakan kenalan Allahyarham sejak 36 tahun itu berkata, dia dan keluarganya amat rapat serta berjumpa hampir setiap hari bagi tujuan kerja dan peribadi.
“Saya mula kenal Allahyarham kerana arwah ayah saya, Musa Zainuddin, juga merupakan sahabat baik dengannya. Hubungan mereka sangat akrab dan mereka berganding bahu dalam membentuk Jawatankuasa Lembaga Tadbir Madrasah Idrisiah.
“Ketika Allahyarham dilantik sebagai Mufti Perak pada tahun 1985, Sultan Perak menitahkan arwah ayah saya berkhidmat di Madrasah Idrisiah dan mereka berdua telah membuat pemulihan madrasah.
“Antara sumbangan terbesarnya adalah beliau terlibat sepenuhnya dalam era pemulihan Madrasah Idrisiah bermula tahun 1985 sehingga 1990. Allahyarham berjaya meyakinkan pihak istana untuk membangunkan pendidikan agama di madrasah ini sehingga Almarhum Sultan Azlan Shah telah mewakafkan sembilan tanah untuk dijadikan wakaf tajaan sekolah,” katanya.
Kenangan bersama abah
Bagi anak bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi Harussani, 44, pemergian bapanya yang digelar ‘abah’ amat menyentuh hatinya.
Katanya, abah yang mempunyai sifat tegas di rumah sebagaimana semasa menjadi mufti, namun masih tersisip kelembutannya bersama keluarga.
“Abah memang seorang yang tegas dari segi agama dalam konteks menjaga solat dan mengaji. Ketegasan dalam disiplin agama itu sangat penting baginya.
“Dia percaya institusi keluarga itu sangat penting di mana keluarga yang baik dapat menyumbangkan ke arah pembentukan komuniti yang baik dan seterusnya pembinaan negara yang hebat,” katanya.
Biarpun sentiasa sibuk dengan peranan sebagai Mufti Perak selama 36 tahun, Ahmad Wafi menjelaskan, Allahyarham pada penghujung usianya suka berkumpul bersama anak dan cucu-cucunya.
“Abah cukup suka kalau anak-anaknya pulang ke rumah dan berkumpul atau bersembang bersama keluarga.
“Mungkin kerana abah dapat meluangkan lebih masa bersama anak-anaknya ketika ini berbanding masa mudanya oleh faktor sibuk bekerja di waktu pagi dan memberi ceramah di masjid pada waktu malam,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi detik cemas apabila abah dan ibunya, Puan Sri Ainon Abdul Ghani yang disahkan positif Covid-19.
“Abah hanya duduk di rumah sejak setahun lalu kerana menghidap penyakit angin ahmar. Abah mungkin berjangkit daripada kontak rapat.
“Kami mendapat tahu keputusan pada 11 Mei dan seminggu selepas itu abah masuk ke wad kecemasan kerana oksigen rendah.
“Keadaan abah tidak stabil dan kesihatannya naik turun, sehinggalah pada 30 Mei, abah disahkan meninggal dunia,” katanya.
Jawatan yang pernah dipegang Harussani di Madrasah Idrisiah:1) Penggerak Era Pemulihan Madrasah Idrisiah 1985-1990, 1991-19952) Ahli Jawatankuasa Lembaga Tadbir Madrasah Idrisiah 1985-20193) Pengerusi Lembaga Tadbir Madrasah Idrisiah 2019-20214) Yang Dipertua / Penasihat, Persatuan Bekas Pelajar Madrasah Idrisiah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!