Operasi 'snap check' pantau pergerakan orang ramai
KANGAR - Selain sekatan jalan raya (SJR) di sempadan, polis Perlis menumpukan perhatian kepada operasi snap check secara bergerak dalam usaha memantau pergerakan orang ramai sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh bermula 1 hingga 14 Jun.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, tumpuan tersebut diberikan setelah melihat kaedah berkenaan lebih berkesan dengan bantuan masyarakat setempat yang lebih peka dan membantu menyalurkan maklumat.
"Snap check lebih berkesan berbanding sekatan jalan raya kerana operasi dilakukan secara mengejut dan orang tidak berada dalam keadaan bersedia berbanding SJR...tumpuan snap check diberikan kerana rakyat tidak tahu masa dan tempat diadakan.
"Lebih memudahkan keadaan apabila masyarakat sekeliling dari mana-mana kawasan terlibat sudah mulai peka dan turut memberi kerjasama memaklumkan sekiranya terdapat kenderaan yang tidak pernah dilihat kerap melalui kawasan kampung tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Rabu.
Surina berkata, lebih 60 kumpulan snap check secara bergerak bersedia 24 jam memerhatikan sebarang kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang cuba bergerak keluar dari radius 10 kilometer seperti ditetapkan.
Beliau berkata selain memperketat kawalan di kawasan lorong tikus, snap check juga dijalankan di kawasan berkenaan yang sering menjadi laluan masuk ke Perlis.
Katanya, setakat semalam, tiada kompaun dikeluarkan dan snap check dilakukan secara advokasi kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dalam melakukan pergerakan.
Mengulas lanjut, Surina berkata terdapat penurunan sebanyak 60 hingga 75 peratus kenderaan dari luar yang masuk ke Perlis sejak semalam.
"Kita harapkan perkara ini berterusan dan dari aspek pematuhan SOP, saya nampak 98 peratus rakyat negeri ini patuh," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!