Israel serang pos tentera Syria di Bukit Golan
BAITULMAQDIS - Tentera Israel pada Selasa memusnahkan sebuah pos pemerhatian tentera Syria di Bukit Golan yang dijajah oleh rejim Zionis, kata jurucakap tentera Yahudi itu, Avichay Adraee.
Menurutnya, pihak tentera memusnahkan pos tersebut yang didirikan dalam kawasan Israel di garisan barat Alfa di Bukit Golan.
Beliau yang membuat ciapan di Twitter itu sekali gus merujuk kepada kawasan penampan di bahagian Israel.
Menurut AFP, tentera rejim Zionis menyerang dan meletupkan pos itu dan menyatakan ia tidak bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk menceroboh kedaulatan Israel.
Setakat ini tidak ada sebarang laporan kematian atau kecederaan berikutan serangan tersebut.
Tentera Israel telah melancarkan ratusan serangan di Syria sejak permulaan perang saudara di negara berkenaan pada tahun 2011 dengan kebanyakan sasaran adalah pasukan Iran dan Hezbollah termasuk tentera kerajaan Syria.
Pada tahun 2020, tentera rejim itu menyatakan ia telah melakukan serangan ke atas 50 sasaran.
Media Syria dan sebuah badan pemantau perang Syria menyatakan pada awal Mei lalu, tentera rejim Zionis telah melancarkan serangan udara di wilayah selatan negara tersebut iaitu Quneitra dekat sempadan Israel.
Bukit Golan yang merupakan zon tentera strategik dirampas oleh Israel dari Syria semasa berlakunya Perang Enam Hari pada tahun 1967. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN: Israel tolak gencatan senjata
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!