FAMA sedia bantu aturkan pasaran petani terjejas
IPOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedia membantu petani yang mempunyai masalah hasil tidak terjual sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dengan mengatur pasaran untuk mereka.
Bagaimanapun Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, sehingga kini semua petani yang berdaftar dengan FAMA tidak mempunyai masalah untuk memasarkan hasil pertanian mereka.
Menurut beliau, pihak FAMA mengakui terdapat penguncupan permintaan hasil pertanian di dalam pasaran ketika tempoh pandemik Covid-19, namun aktiviti khidmat pemasaran masih terus dilakukan.
"Kita memang sedia membantu petani yang terjejas dari sudut pemasaran, namun bagi mereka yang tidak berdaftar dengan FAMA kita minta mereka daftar. Petani juga diminta untuk memaklumkan lebih awal sebelum hasil dituai bagi memudahkan pihak FAMA mengatur pasaran untuk mereka.
"Petani juga boleh berhubungan dengan pihak FAMA bagi mendapatkan kebenaran untuk pergerakan memasarkan hasil pertanian sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' yang sedang dikuatkuasakan ketika ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat FAMA Negeri Perak di sini pada Selasa.
Noorsham berkata, kerajaan telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan teratur berkaitan pengurusan rantaian pengedaran bekalan makanan bagi memastikan ia sampai kepada rakyat.
Beliau berkata, tidak lagi berlaku isu syarikat tidak merentas daerah dan negeri bagi memasarkan hasil pertanian mereka ke luar kawasan.
Sementara itu, Noorsham berkata, dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh ini, pihaknya menjangkakan berlaku lambakan beberapa produk pertanian seperti pisang berangan, tembikai, nanas MD2, cili merah, jagung dan mangga chokanan.
Katanya, punca lambakan itu disebabkan petani dan pengeluar menjangkakan permintaan tinggi semasa musim perayaan, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pergerakan komoditi terbatas serta pengguna tidak membeli dalam kadar yang banyak.
"Berdasarkan pengalaman petani sebelum ini, masa hari raya permintaan tinggi tetapi apabila rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan menyebabkan orang ramai hanya membeli barang-barang berdasarkan keperluan sahaja.
"Disebabkan itu berlaku lambakan produk pertanian ini dan kita telah mengatur pelbagai strategi untuk membantu petani ini bagi mengelak mereka kerugian serta menghentikan penanaman," katanya.
Dalam perkembangan lain, Noorsham berkata, dalam usaha membantu pengguna dan peniaga, pihaknya melaksanakan Pasar Segar Terkawal (PST) masing-masing di Pasar Tani Kekal (PTK) Manjung, PTK Lekir dan AgroHub Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan secara datang datang terus ke lokasi yang dinyatakan, secara pandu lalu serta melalui dalam talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!