Segerakan vaksin untuk warga politeknik, kolej komuniti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan beberapa ahli pembangkang menggesa kerajaan supaya memberikan keutamaan pemberian vaksin kepada warga politeknik serta kolej komuniti.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan beberapa ahli pembangkang dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, pensyarah politeknik dan kolej komuniti merupakan pejuang barisan hadapan menyumbang terhadap kesinambungan pendidikan anak-anak pasca sekolah menengah dan membangunkan potensi pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan B40.

Menurut kenyataan itu, pensyarah politeknik dan kolej komuniti juga terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19 kerana walaupun aspek teori dijalankan secara dalam talian, sesi amali perlu dilakukan secara bersemuka.

“Selain itu, warga politeknik dan kolej komuniti juga banyak menyumbang terhadap usaha-usaha mengekang penularan Covid-19.

“Ketika wabak ini mula merebak, masing-masing memainkan peranan membantu menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti gaun, pelitup muka dan pelindung muka.

“Mereka juga turut membantu mengedarkan bantuan makanan kepada masyarakat berdasarkan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mereka ada,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Kenyataan bersama itu melibatkan Dr Maszlee Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan; Nik Nazmi Nik Ahmad dan Natrah Ismail mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR); Teo Nie Ching dan Steven Sim Chee Keong (DAP); Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau,Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Parti Malaysian United Democratic Alliance (Muda); Datuk Wira Amiruddin Hamzah, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ahmad Hassan, Parti Warisan Sabah (Warisan).

Menurut kenyataan itu lagi, terdapat politeknik dan kolej komuniti yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) seperti Politeknik Port Dickson.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, pensyarah politeknik dan kolej komuniti yang menganggotai pasukan beruniform juga telah banyak berkorban bergabung tenaga dengan barisan hadapan yang lain untuk membendung penularan wabak covid-19 dalam masyarakat.

“Ini termasuklah menganggotai askar wataniah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Justeru, kerajaan wajar memberikan keutamaan kepada semua pensyarah dan kakitangan politeknik dan kolej komuniti untuk mendapat vaksin Covid-19 dengan segera,” kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!