Prosiding kes cemar Sungai Gong ditangguh

Laporan Sinar Harian pada 2 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 2 Februari lalu.
A
A
A

SELAYANG - Prosiding kes lima individu termasuk empat beradik atas dakwaan melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu telah ditangguhkan.

Menerusi e-filing kehakiman, kes ini yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Rabu, didengar di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid ketika dihubungi berkata, prosiding ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, ia selaras dengan arahan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengarahkan pengendalian kes-kes seperti perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah, ditetapkan secara kehadiran fizikal hendaklah ditunda ekoran Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown.

"Setakat ini satu tarikh baharu perbicaraan masih belum ditetapkan," katanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan Rabu bagi perbicaraan kes lima tertuduh itu iaitu empat pengarah sebuah syarikat yang juga adik-beradik Yip Kok Wai, 52; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50; dan Yip Kok Weng, 60, serta seorang pengurus syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 59 berhubung kes pencemaran itu yang berlangsung selama enam hari iaitu pada 2, 3, 9, 10, 17 dan 22 Jun.

Pihak pendakwaan dijangka memanggil 20 orang saksi bagi memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan pertama, kelima-lima tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan sama dari bengkel sama tanpa lesen.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd, Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang di sini antara 2 hingga 3 September tahun lalu.

Ekoran pencemaran minyak dari bengkel tersebut pada 3 September tahun sama, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbicaraan kes cemar Sungai Gong bermula Jun depan

Cemar Sungai Gong: Lima termasuk empat beradik didakwa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!