Anggota tentera miliki wang palsu didakwa
anggota tentera didakwa
SIBU - Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki wang tunai palsu berjumlah RM4,000.
Abdul Shahmi Shafiq Abdul Rahman, 29 yang berasal dari Kampung Masjid Lama, Belawai didakwa melakukan kesalahan memiliki 55 keping wang tunai palsu berjumlah RM4,000 di Maybank Jalan Kampung Nyabor di sini pada 9.46 malam pada 12 Februari lalu.
Dia yang mengetahui wang itu palsu dan berniat untuk menggunakannya sebagai wang tulen didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Romie Ahmad Zaidi dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Awang Iswandi Awang Mahmuddin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Februari dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!