Penganggur mengaku rogol remaja bawah umur
KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada minggu lalu.
Bagaimanapun, hukuman terhadap tertuduh, Nor Ikmal Arif Mohd Kassim, 23, ditetapkan pada 4 Julai depan.
Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah bilik di Kampung Pasir Tumboh di sini pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, 27 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Faizuan memohon agar mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan, namun tertuduh merayu dibenarkan jaminan yang rendah kerana sudah membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Tertuduh bagaimanapun tidak membayar jumlah ikat jamin itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!