Pembacaan meter, kedai tenaga berjalan seperti biasa

TNB akan meneruskan operasi pembacaan meter dan Kedai Tenaga (KT) bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada kepada kira-kira 9.5 juta pelanggannya di Semenanjung.
TNB akan meneruskan operasi pembacaan meter dan Kedai Tenaga (KT) bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada kepada kira-kira 9.5 juta pelanggannya di Semenanjung.
A
A
A

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan meneruskan operasi pembacaan meter dan Kedai Tenaga (KT) bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada kira-kira 9.5 juta pelanggannya sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula 1 sehingga 14 Jun ini.

TNB dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pembacaan meter dan penyerahan bil fizikal berjalan seperti biasa bagi memastikan pengguna menerima bil sebenar dan bukan bil anggaran.

“Pembaca meter kami, seperti lazimnya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Tambahnya, bagi operasi KT, ia dipendekkan tiga jam dari jam 9 pagi hingga 4 petang kepada bermula 9 pagi sehingga 1 petang.

“Waktu operasi perkhidmatan kios layan diri di KT kami kekal dari jam 8.15 pagi hingga 8 malam. Kios kami akan disanitasi setiap dua jam berbanding setiap empat jam sebelum ini.

“Berikutan tempoh KT operasi dengan tempoh yang lebih pendek, operasi perkhidmatan khidmat pelanggan TNB CareLine dilanjutkan dua jam setiap hari dari jam 8 pagi hingga 7 petang berbanding sehingga 5 petang sebelum ini,” katanya.

Menurut TNB, pelanjutan tempoh itu adalah untuk talian TNB Careline 1-300-88-5454 dan e-mel tnbcareline@tnb.com.my yang dikhususkan untuk pertanyaan berkaitan akaun dan bil.

“Bagi gangguan bekalan elektrik pula, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine yang kekal beroperasi 24 jam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas TNB, walaupun KT masih dibuka sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama ini, pengguna digalakkan untuk menggunakan kemudahan transaksi dalam talian TNB bagi sebarang urusan transaksi termasuk semakan dan pembayaran bil.

“Transaksi ini boleh dibuat menerusi portal www.tnb.com.my dan aplikasi myTNB agar dapat mengurangkan keperluan untuk transaksi secara bersemuka.

“TNB memohon maaf sekiranya penguatkuasaan waktu operasi baharu KT menyebabkan sebarang kesulitan.

“Inisiatif ini perlu dilaksanakan bagi membantu usaha pihak kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, selain mengutamakan serta mengekalkan kesihatan serta keselamatan warga kerjanya dan masyarakat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!