Ketatkan penguatkuasaan SOP di sektor industri yang beroperasi
SHAH ALAM - Penguatkuasaan yang ketat perlu seiring dengan langkah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) secara total yang dimulakan Selasa sehingga 14 Jun nanti.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sekiranya tiada tindakan penguatkuasaan ketat terhadap sektor industri yang dibenarkan beroperasi, dikhuatiri kluster tempat kerja masih wujud walaupun transmisi di dalam komuniti sudah dikawal sepenuhnya.
"Paling penting adalah memastikan industri yang dibenarkan untuk terus berfungsi mestilah mematuhi SOP.
"Saya rasa dari segi SOP sudah memadai cuma dari segi penguatkuasaan agak lemah.
"Kerajaan mesti tahu bagaimana hendak memastikan sektor industri beroperasi mematuhi SOP supaya tidak berkerumun, menjaga penjarakkan sosial dan mesti ada saringan dan sanitasi berkala," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebanyak 95,142 syarikat memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa tempoh PKP 3.0 dan sekatan perjalanan penuh.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya pada Selasa berkata, jumlah itu adalah daripada 517,144 syarikat dengan 9.67 pekerja yang berdaftar di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) kelolaan kementeriannya setakat jam 12 tengah hari.
Bagi Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti daripada Fakulti Perubatan dan Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Huda Zainuddin, pelaksanaan SOP PKP 3.0 kali ini haruslah dibuat secara penuh dan menyeluruh seiring dengan namanya, 'total lockdown'.
"Kalau kita kata nak buat 'total lockdown' sepatutnya buatlah betul-betul sebab keadaan sekarang yang kritikal dan sistem kesihatan pun sudah lemas. Semua kilang yang bukan dalam perkhidmatan perlu hendaklah ditutup atau diperincikan mengikut keadaan dan keperluan kilang tersebut.
"Memang membimbangkan apabila sektor ekonomi dibuka kerana kita seperti membuang masa. Kalau kita tengok bilangan kes baharu naik mendadak. Jadi kalau kita tidak mengambil perkara ini secara serius, ia boleh menjadi tidak terkawal.
Tambahnya, walaupun berpuas hati 'total lockdown' akhirnya dijalankan, SOP masih mengelirukan dan berubah-ubah di mana kerajaan sepatutnya memberikan SOP yang jelas dan teratur.
"Walaupun PKP sudah dilaksanakan sebelum ini, ia agak kurang teratur dan mengelirukan. Contohnya, majikan keliru untuk mohon surat kepada MITI atau kementerian sektor masing-masing.
"Jadi bagi saya, tidak perlu banyak sumber untuk memohon. Sistem terdahulu sudah efektif dan orang sudah faham.
"Untuk dua minggu terawal 'lockdown' ini mereka patut menggunakan satu sumber. Kemudian, barulah dimodifikasikan untuk dapatkan impak 'total lockdown' itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!