Padah tipu MITI, kilang buat topi keledar diarah tutup

Sebuah kilang membuat topi keledar diarahkan tutup serta-merta kerana menipu MITI dalam pengisytiharan syarikat.
Sebuah kilang membuat topi keledar diarahkan tutup serta-merta kerana menipu MITI dalam pengisytiharan syarikat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebuah kilang membuat topi keledar di Jalan Murni, Sungai Dua di sini diarahkan tutup kerana beroperasi ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh walaupun bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan penting.

Pemilik kilang tersebut turut dikompaun RM10,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu beroperasi tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semakan mendapati, pemilik kilang tersebut mengisytiharkan premisnya kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kononnya membuat alat pelindung diri (PPE) termasuk pelitup muka dan sarung tangan getah serta peralatan keselamatan kebakaran.

Menurutnya, bagaimanapun pemeriksaan di kilang tersebut oleh sepasukan polis dalam Ops Pematuhan SOP mendapati premis tersebut hanya mengeluarkan topi keledar sahaja.

"Pemeriksaan mendapati, kilang itu tidak mengeluarkan PPE seperti didakwa sebaliknya hanya membuat topi keledar, yang mana ia bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan penting oleh MITI.

"Kita sudah arahkan kilang itu ditutup serta-merta dan kes ini dirujuk kepada MITI untuk tindakan selanjutnya. Dari segi pengoperasian, kilang itu mematuhi SOP lain antaranya hanya 60 peratus tenaga kerja digunakan.

"Bagaimanapun, ia tetap menjadi kesalahan apabila kilang yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan penting masih beroperasi ketika pelaksanaan 'total lockdown' selama dua minggu ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Noorzainy berkata, wakil Jabatan Tenaga Kerja yang menyertai operasi tersebut telah menghubungi MITI untuk pengesahan namun diberitahu bahawa kilang itu tidak sepatutnya beroperasi selain operasinya juga telah menyimpang daripada tujuan asal.

Artikel Berkaitan:

Operasi yang turut disertai Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu juga memeriksa 10 kilang dan pejabat lain di Sungai Dua di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!