Tidak perlu terburu-buru perbaharui lesen LKM, LMM
KOTA BHARU – Kelonggaran pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) diberikan untuk mereka yang tamat tempoh sah dari 1 Jun hingga 31 Julai 2021.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kelonggaran tersebut diberi antara 1 Ogos hingga 30 September 2021.
Menurutnya, namun orang ramai perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan ‘cover-note’ insurans masing-masing kepada anggota penguat kuasa, jika diminta.
“Kelonggaran ini adalah bagi memudahkan orang ramai memandangkan kita sedang dalam pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.
"Saya harap orang ramai akan maklum mengenai perkara ini dan patuh kepada segala peraturan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Menurutnya, selain itu, sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh itu, pengoperasian kaunter JPJ adalah hanya melibatkan urusniaga yang dibenarkan iaitu kenderaan perdagangan prkhidmatan perlu (essential services) yang memerlukan rentas negara sahaja.
Beliau berkata, antaranya ialah melibatkan urusan pembaharuan lesen LKM, pendaftaran baharu, pengeluaran salinan Vehicle Ownership Certificate dan maklumat kenderaan, pembaharuan Lesen Vokasional iaitu GDL dan PSV serta pembayaran saman bagi kes yang telah disenaraihitamkan.
“Bilangan petugas di kaunter juga kita hadkan iaitu tidak melebihi 20 peratus daripada keseluruhan petugas, selain melakukan sanitasi sebagaimana yang ditetapkan.
"Mod pembayaran untuk setiap urusan pula boleh menggunakan tunai atau debit namun kita mengalakkan pembayaran secara ‘e-payment’. Untuk semua urusan perlu melalui janji temu manakala ‘walk-in’ adalah tidak dibenarkan dan waktu operasi adalah bermula jam 8 pagi sehingga 1 petang," katanya.
Jelasnya, orang awam juga dinasihatkan untuk membuat urus niaga menggunakan sistem dalam talian mySIKAP sekiranya ingin membuat urusan pembaharuan lesen memandu, pembaharuan lesen kenderaan motor, kenderaan persendirian dan penjelasan saman semasa tempoh tersebut.
"Orang ramai boleh layari laman sesawang kami di www.jpj.gov.my untuk maklumat lanjut
"Untuk janji temu, orang ramai boleh menghubungi talian JPJ Negeri Kelantan iaitu 09-7666000/6001, Bahagian Perlesenan Kenderaan di 09-7666144 dan Bahagian Perlesenan Pemandu di talian 09-7666133," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!