Tiga lagi jalan keluar Putrajaya ditutup

Mohd Fadzil ditemui pemberita ketika membuat tinjauan pemasangan pagar untuk menutup jalan berhampiran Jambatan Seri Saujana.
Mohd Fadzil ditemui pemberita ketika membuat tinjauan pemasangan pagar untuk menutup jalan berhampiran Jambatan Seri Saujana.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Polis menutup tiga lagi jalan keluar dari Putrajaya bermula jam 8 malam pada Rabu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, penutupan itu dibuat bagi mengelakkan aliran keluar masuk ke Putrajaya dari Desa Pinggiran, Bandar Baru Bangi, Dengkil, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

"Ia melibatkan Persiaran Timur menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra Presint 16, Lebuh Wadi Ehsan menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra di Presint 19 dan Jambatan Seri Saujana menghala keluar ke Lebuh Sentosa," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan pemasangan pagar di sini pada Rabu.

Menurutnya, pertambahan itu menjadikan 10 jalan yang ditutup di daerah ini.

"Setelah menilai sekatan jalan yang ada, kita dapati jalan-jalan utama ini masih menjadi laluan keluar masuk warga Putrajaya dan orang luar secara bebas," katanya.

Beliau berkata, selain itu penutupan tersebut juga bertujuan memastikan aliran trafik dapat dikawal sepenuhnya.

"Kesemua laluan keluar akan melalui empat sekatan jalan raya (SJR) sedia ada dan setiap kenderaan akan diperiksa," katanya.

Mohd Fadzil berkata, orang ramai yang tidak mempunyai kebenaran untuk memasuki dan keluar dari Putrajaya bakal berdepan dengan tindakan kompaun.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh semalam, kita telah mengeluarkan empat kompaun yang berjumlah RM20,000 kepada mereka yang gagal mengemukakan surat kebenaran," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 26 saman trafik turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya selain 17 kenderaan telah diarah berpatah balik daripada memasuki Putrajaya.

Ditanya mengenai tindakan pihaknya terhadap individu yang cuba mengalihkan penghadang jalan, tegas Mohd Fadzil tindakan undang-undang akan dilaksanakan dan mereka bakal berdepan tindakan di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil mengingatkan orang ramai berfikir dengan mendalam sekiranya ingin merentas masuk dan keluar dari Putrajaya.

"Orang ramai yang berhasrat datang ke Putrajaya, kena fikir banyak kali. Jika tiada urusan penting, sila duduk di rumah kerana polis tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang berlaku," katanya.

Pada Selasa, polis menutup tujuh jalan iaitu Jalan P5 menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil, Presint 5, Jalan Resam menghala keluar dan masuk Presint 11, Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya, Presint 11, Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sungai Merab Bangi, Presint 14, Pintu Satu menghala keluar dan masuk Presint 14, Jalan P7A, Bulatan Putrajaya Sentral dan Jalan P5 menghala ke Dengkil, Presint 5.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!