MAIS teruskan program munajat, bacaan Yasin

Poster mengenai penganjuran program itu yang dimuat naik di laman Facebook MAIS, pada Rabu.
Poster mengenai penganjuran program itu yang dimuat naik di laman Facebook MAIS, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan program munajat dan bacaan surah Yasin sepanjang pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama yang bermula pada Selasa.

Menerusi kemaskini di laman Facebook pada Rabu, MAIS berkata, program khusus itu adalah bagi memohon doa kepada ALLAH SWT agar dikurniakan kesembuhan buat mereka yang dijangkiti Covid-19 dan dihindari daripada wabak ini.

Katanya, melalui program ini, kakitangan MAIS, agensi, anak syarikat dan Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS) akan membaca surah Yasin serta doa selamat secara atas talian pada setiap hari bermula jam 8 malam sehingga 8.30 malam.

"Program munajat yang diadakan sejak 27 Ramadan ini juga mendapat sebanyak 100 penyertaan pada setiap malam," katanya.

Tambahnya, orang ramai diseru agar dapat menggunakan kesempatan berkumpul bersama keluarga sewaktu penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh semua sektor ini dengan bersama-sama bermunajat dan mengikuti program itu.

"Terima kasih kepada semua yang bersama MAIS dalam mengimarahkan lagi program ini," katanya.

Sidang Khas Majlis Keselamtan Negara (MKN) sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Sidang khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut memutuskan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh MKN.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!