45 minit tahan sakit besi lubang saluran tersekat di tangan
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki menahan sakit selama 45 minit selepas tangan kanannya tersekat dalam besi lubang saluran di dapur rumahnya di Jalan Pulai Tuah, Skudai di sini pada malam Selasa.
Kejadian jam 7.40 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 37 tahun mahu mengambil barang berharga yang terjatuh ke dalam lubang berkenaan, namun tangannya tersekat di paras siku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar berkata, percubaan mangsa selama beberapa kali untuk mengeluarkan tangannya tidak berjaya sebelum keluarganya membuat aduan kecemasan kepada pihak bomba.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.44 malam sebelum 10 anggota diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Suraini Adnan serta dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya sedikit calar di tangan. Operasi tamat kira-kira jam 8.30 malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!