Berebut nombor giliran punca bersesak
KUALA LUMPUR - Berebut mendapatkan nombor giliran untuk urusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju pada sesi petang punca orang ramai bersesak di pintu masuk JPJ berkenaan sebagaimana video tular di media sosial pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hanya 50 nombor giliran dibuka untuk urusan di kaunter JPJ Wangsa Maju pada sesi petang menyebabkan orang ramai berebut mendapatkan nombor giliran masing-masing sehingga bersesak.
Menurutnya, dalam video tular berdurasi 1.13 minit itu memaparkan orang ramai berebut untuk memasuki premis JPJ berkenaan.
"Dalam video tersebut kelihatan orang awam mengerumuni pintu pagar utama JPJ Wangsa Maju sehingga tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.
"Hasil semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari hingga 2 petang dan keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran orang ramai untuk menjelaskan saman tertunggak selepas JPJ memberi diskaun sehingga 70 peratus," katanya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pada asalnya tarikh akhir diskaun saman adalah pada 11 Jun, namun orang ramai menyerbu kaunter pembayaran saman pada saat-saat akhir sebelum Sekatan Pergerakan Penuh bermula Selasa.
"Pihak keselamatan JPJ Wangsa Maju telah menghubungi polis untuk bantuan setelah keadaan tidak terkawal sebelum pasukan pemantau SOP Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju bergegas ke lokasi.
"Setelah melihat kehadiran pihak polis, orang ramai telah bersurai dari lokasi tersebut bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun," katanya.
Dalam pada itu, Ashari menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP agar penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
"Tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan sengaja melanggar SOP serta tidak menjaga penjarakan sosial sehingga menyebabkan penularan wabak Covid-19," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!