Covid-19: WHO lulus penggunaan kecemasan vaksin Sinovac
BEIJING - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 CoronaVac yang dihasilkan syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac Biotech Ltd.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang media berkata, vaksin Sinovac terbukti selamat, berkesan dan mempunyai kualiti terjamin.
Vaksin itu mudah disimpan dan sesuai digunakan dalam apa jua keadaan persekitaran.
WHO mencadangkan CoronaVac digunakan untuk golongan berusia 18 tahun dan ke atas.
Walaupun data ujian klinikal vaksin CoronaVac bagi golongan berusia 60 tahun dan ke atas masih sedikit, namun WHO tidak menetapkan had usia penerima suntikan berikutan sifat vaksin yang bertindak sebagai pelindung untuk warga emas.
Sementara itu, Naib Ketua Pengarah WHO, Mariangela Simao dalam kenyataannya berkata masyarakat antarabangsa memerlukan lebih banyak jenis vaksin Covid-19 untuk mengatasi agihan yang tidak seimbang.
WHO turut menggesa syarikat pengeluar vaksin menyertai Kemudahan Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX) yang diterajui badan dunia itu serta berkongsi ilmu dan data untuk memberikan sumbangan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
CoronaVac merupakan vaksin kedua yang dihasilkan China selepas vaksin SINOPHARM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!