Harimau Malaya buru penawar 'sejarah hitam'
SETELAH hampir enam tahun, skuad Harimau Malaya kembali ke bumi terpahatnya sejarah hitam arena bola sepak negara apabila Malaysia tewas 10-0 kepada tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada September 2015.
Kali ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kembali dengan kekuatan berbeza membawa misi menebus maruah apabila berdepan tuan rumah di Stadium Zabeel, Dubai, Khamis ini dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Aksi Kumpulan G itu menyaksikan buat pertama kalinya Malaysia bertandang ke UAE sejak diaibkan di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi yang menjadi kekalahan terbesar dalam sejarah pasukan kebangsaan ketika itu dikendalikan Dollah Salleh serta mimpi buruk penyokong dan peminat bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, episod sebaliknya mungkin berlaku esok selepas skuad kebangsaan melalui revolusi selain diperkuat dengan kehadiran pemain berdarah kacukan serta naturalisasi walaupun ranking jelas menunjukkan jurang besar antara Malaysia di kedudukan ke-153 dunia dengan UAE di tangga ke-73.
Rekod turut tidak memihak skuad kebangsaan sepanjang 14 pertemuan sejak 1980, menyaksikan skuad kebangsaan hanya menang dua perlawanan, tewas 11 kali dan satu kekalahan terbaru pada pusingan pertama aksi kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, September 2019.
Atas kertas, jelas menunjukkan pertembungan epik pada Jumaat ini memihak kepada UAE namun ia boleh menjadi azimat buat barisan pemain negara untuk menamatkan badi kekalahan Malaysia kepada ‘The Whites’ sejak kali terakhir mengatasi UAE 2-1 pada kejohanan Pestabola Merdeka 1982.
Selepas berehat panjang susulan pandemik Covid-19, skuad kebangsaan dilihat lebih meyakinkan dengan kehadiran tiga pemain naturalisasi - Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula - yang disenaraikan Cheng Hoe kali ini.
Di samping itu, skuad kebangsaan turut mendapat ‘senjata’ baharu setelah pemain pertahanan berdarah kacukan Malaysia-Belgium yang berpangkalan di Eropah Dion Cools, 24, sah menyertai pasukan sekali gus bakal membuat penampilan senior pertamanya di peringkat antarabangsa bersama Malaysia.
Kehadiran Cools dalam formasi pertahanan bersama Matthew Davis, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Corbin Ong memperkukuh benteng skuad negara dalam mengekang ancaman jentera serangan UAE diketuai penyerang prolifik Ali Mabkhout yang telah meledak dua gol untuk membantu UAE mengatasi Malaysia di Bukit Jalil dua tahun lepas.
Pemain berusia 30 tahun yang turut berperanan mencalar imej pasukan negara ketika tewas 10-0 itu dilihat berada pada tahap terbaik selepas mengumpul lima gol dalam dua kemenangan aksi persahabatan UAE masing-masing mengatasi India 6-0 pada Mac dan Jordan 5-1, bulan lepas.
UAE yang terdesak untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 telah melakukan persiapan rapi di bawah kendalian jurulatih Belanda Bert van Marwijk sejak hujung 2020, berbanding skuad kebangsaan yang dapat dikumpulkan sepenuhnya pada bulan lepas.
Selepas mengharungi lima aksi kumpulan, kejayaan meraih tiga mata ke atas UAE lebih mencerahkan peluang Malaysia yang berada di kedudukan kedua dengan mengumpul sembilan mata untuk menjuarai saingan Kumpulan G sekali gus mencapai misi layak ke Piala Asia 2023.
Kemenangan juga dapat memberi tekanan kepada Vietnam selaku peneraju saingan kumpulan dengan 11 mata, melebarkan jurang mata Malaysia dengan Thailand di kedudukan ketiga (lapan mata) dan menjejaskan rentak UAE yang memiliki kurang satu perlawanan di kedudukan keempat (enam mata).
Bagaimanapun, perlawanan sukar pastinya bakal ditempuh skuad kebangsaan yang mahu bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut kepada Kuwait 1-4 dan Bahrain (0-2) pada aksi persahabatan bulan ini, sementara UAE menyasarkan untuk meneruskan momentum dua kemenangan besar dicatat mereka.
Bagi watak utama pasukan, Cheng Hoe pula, beliau perlu bijak membaca strategi serta percaturan permainan van Marwijk selepas musuh sejawatnya itu mempunyai rekod memberangsangkan sepanjang membimbing UAE dengan menang tujuh pertembungan serta satu keputusan seri dalam keseluruhan 12 perlawanan dilalui.
Pengendali berusia 69 tahun itu adalah jurulatih berpengalaman serta memiliki rekod dan reputasi tinggi membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010 sebelum tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam masa tambahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!