Usahawan muda dalam pembikinan
Begitu juga dengan selebriti Neelofa, 30. Beliau yang membawa jenama Naelofar Hijab termasuk cabang perniagaan kanta lekap, Lofalen disifatkan begitu cemerlang dalam bisnes yang dikendalikannya. Jika tidak, masakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Air Asia itu terpilih sebagai salah seorang daripada 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 bagi kategori E-Dagangan dan Peruncitan oleh majalah perniagaan antarabangsa, Forbes.
Melihat kepada situasi itu, sebuah agensi pengurusan bakat, Girls Republique (GR) yang ditubuhkan pada Jun 2018 memperkenalkan sebuah program realiti dalam usaha membantu dan membimbing remaja wanita (berusia dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun) yang berminat untuk bergelar usahawan berjaya pada usia muda.
Celebpreneur
Pengarah Sumber Manusia GR, Datuk Marina Hashim, 41, berkata, idea kepada program itu merupakan cetusan daripada seorang rakan niaga yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat dan mempunyai hubungan baik dengan pelbagai agensi.
"Ya, ramai yang berminat mahu menjadi usahawan, namun golongan muda ini tiada platform ditambah berhadapan dengan pelbagai halangan dari segi suntikan modal, bimbingan dan dorongan.
"Bila tiada modal, niat mereka terbantut dan terpaksalah mereka kerja makan gaji sampai tua," kata anak kelahiran Kuantan, Pahang itu ketika bertandang ke studio Sinar Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.
Menjelaskan lebih lanjut tentang program realiti GR, Marina berkata, pengambilan peserta dilakukan menerusi Instagram rasmi GR sebelum satu temu bual diadakan bagi memilih peserta terbaik.
Ujar beliau, GR diwujudkan antara lain mahu membentuk usahawan untuk menjadi selebriti dan entrepreneur atau celebpreneur (celebrity + entrepreneur).
"Para peserta akan 'diubahsuai' dari segi penampilan dan gaya ala-ala selebriti. Pada masa sama, kita ajar mereka tentang bagaimana menjalan perniagaan.
"Kita akan lihat apa minat mereka. Contohnya, ada peserta cenderung dengan bisnes dandanan rambut, jadi kami akan bantu dia hasilkan produk berkaitan dengan rambut sehingga berjaya," katanya.
Menurut Marina, program realiti sulung GR akan berlangsung selama sembilan bulan.
"Pada awalnya, ia ditunjangi tujuh ketua sebelum bertambah menjadi 16 orang bagi menguruskan kesemua 200 peserta. Pemilihan mereka dibuat oleh panel juri. Jika mereka dilihat berpotensi, mereka akan diletakkan sebagai ketua kumpulan. Jika sebaliknya, mereka berperanan sebagai ahli biasa," katanya.
Pada tahun lalu, Marina memberitahu, para peserta program telah dibawa melancong ke beberapa negara seperti di Thailand, Singapura, London dan Paris bagi menimba pengalaman dan mengikuti setiap aktiviti yang telah diaturkan.
"Selain itu, kita juga mengatur program-program lain dengan tujuan menguji sejauh mana kemampuan dan kebolehan para peserta," katanya.
Marina menambah, setiap daripada mereka wajib mempunyai perancangan produk yang hendak ditonjolkan.
Syarat utama, material yang mereka ingin bawa mesti yang boleh dijual atas talian sama ada melalui Instagram mahupun media sosial lain.
Sebagai contoh, ujar beliau, salah seorang peserta yang berusia 19 tahun mempunyai jenama beliau sendiri iaitu Aireenscarfsbygr.
"Bayangkan pada usia muda, Instagramnya sudah mencecah lebih 300,000 pengikut. Beliau bukan sahaja dapat menjana pendapatan tinggi tetapi pada masa sama dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh dalam program itu. Barangkali selepas GR, beliau akan lebih maju jaya," ujar wanita jelita ini yang juga Pengarah Pembangunan Perniagaan, Synergy Promenade Sdn Bhd.
Marina cukup optimis. Beliau dengan nada yakin berkata, pihaknya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap para peserta GR.
"Moga mereka dapat berdiri di atas kaki sendiri dan tak perlu tunggu bantuan dana dan sumbangan daripada kerajaan untuk melaksanakan bisnes yang diidamkan.
"Apabila tamat belajar di universiti atau atau di kolej, mereka tak perlu tunggu atau cari kerja, sebaliknya gunakan kemahiran dan platform yang disediakan untuk menjadi celebpreneur yang berjaya dan terkenal," katanya.
Ujar Aireen Natasya, beliau sangat bernasib baik kerana selepas menyertai program realiti GR, pengikutnya bertambah 100,000 dalam tempoh masa kurang lima bulan. Kini jumlah keseluruhan pengikutnya, lebih 300,000.
"Saya akui, saya bertuah kerana mempunyai produk sendiri selepas menyertai GR. Banyak pengalaman dan ilmu yang diperoleh. Selain bergelar selebriti di Instagram, saya dan rakan-rakan juga diajar cara-cara untuk menghasilkan Instagram yang menarik.
"Semua orang ada Instagram, namun ramai yang terlepas pandang bahawa laman sosial itu boleh digunakan untuk menghasilkan wang jika kena gayanya," kata anak kelahiran Gombak itu.
Beritahu Aireen Natasya, melalui GR juga, beliau bersama rakan-rakannya juga diajar teknik mengambil gambar dan video dengan baik termasuk cara memuat naik kedua-duanya agar dapat menarik perhatian pengikut.
"Kami juga diajar cara menjual dan teknik pemasaran. Sebenarnya pelbagai aplikasi yang boleh digunakan untuk menjadikan produk itu tampak cantik dan menarik," katanya.
Berdasarkan rekod, tudung hasil sentuhan Aireen Natasya jenis instant Aireenscarfsbygr sudah terjual lebih 1,000 helai dalam tempoh empat bulan.
"Buat permulaan, saya tampilkan hanya 10 warna. Selepas melihat sambutan yang memberangsangkan, saya perkenalkan lagi 10 warna. Saya sasarkan 5,000 helai lagi akan terjual untuk tahun ini termasuk musim perayaan tak lama lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
Puding kelapa bersos mangga
Kuasa nuansa hitam, putih
Jambangan bunga Calpis
Naelofar untuk hijabi moden
Busana elegan ratu sehari
18 polis Indonesia ditahan lakukan pemerasan terhadap rakyat Malaysia
Pencarian MH370 mungkin berhasil
Jojo mahu tuntut bela kekalahan abang di tangan Estupinan
Terpaksa jual kambing serendah RM400 seekor untuk beli perabot