Kedah mohon tambah PPV

Muhammad Sanusi (kiri) berinteraksi dengan bakal penerima vaksin semasa memantau Pusat Pemberian Vaksin Dewan Kenangan, Sungai Petani pada Rabu.
Muhammad Sanusi (kiri) berinteraksi dengan bakal penerima vaksin semasa memantau Pusat Pemberian Vaksin Dewan Kenangan, Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah meminta kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khususnya di daerah besar dan mempunyai kepadatan penduduk tinggi di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan memohon kebenaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung permintaan itu.

Menurutnya, kebenaran khusus akan dibuat kepada KKM agar meminta ProtectHealth Corporation (PH Corp) yang merupakan entiti menguruskan suntikan vaksin, memberi kebenaran membuka sebanyak mungkin pusat suntikan termasuk di klinik dan hospital swasta khususnya di daerah yang padat seperti di Kuala Muda.

“Kita ada hospital pakar swasta di Sungai Petani (Kuala Muda) untuk buat lebih banyak vaksinasi di klinik masing-masing yang dapat membantu PPV KKM kerana kapasiti kakitangan kesihatan daerah ini digunakan secara maksimum, jadi kita perlu penglibatan lebih banyak sektor swasta kerana penduduk Kuala Muda cecah 500,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memantau PPV Dewan Kenangan, Sungai Petani pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, setakat ini jumlah penduduk Kuala Muda yang perlu divaksin ialah 325,000 orang.

“Sekiranya tiada penambahan PPV, kita akan mengambil masa 7.25 bulan untuk selesaikan vaksinasi di Kuala Muda,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, Dewan Kenangan di Kuala Muda telah meningkatkan kapasiti suntikan daripada 600 kepada 1,000 orang sehari.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa sekarang penglibatan sektor swasta masih kurang. Hanya lima klinik swasta yang diluluskan untuk membuat suntikan tetapi jumlahnya kecil iaitu 30 suntikan sehari dibenarkan.

“Kita mohon supaya permintaan untuk memberi tumpuan kepada daerah besar di Kedah diberi perhatian oleh KKM dan MOSTI,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!