AFF pertimbang venue berpusat Piala Suzuki

Khiev Sameth
Khiev Sameth
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Sepak ASEAN (AFF) mungkin mengubah format Piala Suzuki AFF 2020 kepada satu venue berpusat berikutan ancaman pandemik Covid-19.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, pihaknya berhasrat menganjurkan Piala Suzuki AFF dalam format dan jadual penuh termasuk di tempat sendiri dan tempat lawan dalam semua peringkat.

“Kami sedar mengenai keperluan untuk memeriksa dengan teliti dan bersedia untuk berhadapan impak pandemik, termasuk format pilihan seperti menggunakan venue berpusat.

“Kesihatan dan keselamatan pihak berkepentingan akan terus menjadi keutamaan kami dan kami memikirkan pelbagai pilihan. Pengumuman selanjutnya akan dibuat pada Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, AFF juga menetapkan 10 Ogos depan untuk majlis undian rasmi tetapi butiran lanjut termasuk venue dan format akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Pada penghujung tahun lalu, AFF mengumumkan kejohanan dwitahunan itu akan berlangsung dari 5 Disember tahun ini hingga 1 Januari 2022.

Kejohanan itu pada awalnya dijadualkan dari 23 November hingga 31 Disember 2020 tetapi ditangguhkan ke 11 April hingga 8 Mei tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki di bawah bimbingan Datuk K Rajagobal pada 2010 dan berjaya mara ke pentas final tiga kali bagi edisi 1996, 2014 dan 2018.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!