Ancaman kedaulatan udara, perairan negara
[DIKEMAS KINI] BELUM reda isu melibatkan pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara baru-baru ini, timbul pula isu baharu melibatkan 16 buah pesawat Tentera Udara milik China.
Sebelum ini kekecohan mengenai pesawat Israel tular di media sosial apabila pesawat prototaip pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO itu didakwa dalam penerbangan dari Tel-Aviv ke Singapura memasuki ruang udara negara dan berlegar selama empat jam.
Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan menjelaskan bahawa pesawat itu sebenarnya mendapat kebenaran memasuki ruang udara Malaysia dan tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
Ini kerana Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menetapkan bahawa setiap pesawat awam dibenarkan melalui ruang udara negara mengikut peraturan-peraturan ditetapkan dan Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota pertubuhan tersebut.
Pesawat itu sebenarnya berlepas dari Republik Maldives menuju ke Paya Lebar, Singapura pada hari Rabu, 19 Mei lalu jam 2.55 pagi.
Walaupun mendapat kelulusan, namun pesawat Boeing 737-400 itu sebenarnya tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia. Dakwa pesawat melakukan corak penerbangan yang tidak normal itu juga didapati tidak benar.
Namun, rata-rata rakyat Malaysia tidak dapat menerima kemunculan pesawat tersebut kerana sentimen kebencian terhadap tindakan rejim Zionis yang telah menyerang dan membunuh ramai penduduk Palestin sejak Ramadan lalu.
Bukan setakat kapal terbang Isreal, malah sebarang produk popular antarabangsa yang dikaitkan dengan rejim itu turut menjadi mangsa boikot rakyat Malaysia.
Mujurlah, Isreal menyerah kalah dan mengumumkan gencatan senjata selepas menerima tentangan hebat daripada pejuang-pejuang Hamas.
Pada Isnin, negara dikejutkan sekali lagi apabila pesawat jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 milik China dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat terbabit merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.
Ia merupakan satu insiden yang serius kerana memberikan ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan negara.
Ia juga bukan pertama kali China menimbulkan konflik dan ketegangan di perairan Laut China Selatan.
Dalam satu laporan awal tahun lalu, tentera di negara itu didakwa mempertingkatkan latihan ketenteraan di Laut China Selatan kerana mendakwa Amerika Syarikat sering menghantar pesawat dan kapal tenteranya ke perairan antarabangsa itu
Dalam satu tulisan oleh Leftenan Komander (Kehormat), Profesor Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli dan Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen, Laut China Selatan adalah kawasan perairan yang luas dan turut dibatasi banyak negara seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan China.
Menurut mereka, Laut China Selatan adalah nadi perdagangan dan pengangkutan antarabangsa berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah laluan utama Timur dan Barat. Perairan itu sangat penting kepada kestabilan ekonomi dunia.Faktor geografi dan ekonomi menyebabkan Laut China Selatan menjadi rebutan banyak negara.
Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982 memberikan peruntukan bahawa sesebuah negara pesisir boleh menuntut sehingga 12 batu nautika laut wilayah diukur dari garis dasar, biasanya dari paras air surut di pantai.
Negara pesisir mempunyai kedaulatan di wilayah laut yang meliputi kedaulatan ke atas dasar laut, air laut dan ruang udara di atasnya.
Kapal-kapal asing yang melewati wilayah laut sesebuah negara pesisir hanya boleh mengamalkan hak lintas damai bagi tujuan pelayaran sahaja.
Sekiranya kapal tersebut melakukan aktiviti yang tidak ada kaitan dengan pelayaran seperti menangkap ikan atau penyelidikan, kapal asing tersebut boleh diusir keluar.
Untuk rekod, Mohd Hazmi merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Leftenan Komander (Kehormat), Pasukan Simpanan Sukarela, Tentera Laut Diraja Malaysia, sementara Izyan Munirah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!