MPS robohkan pusat cuci kereta haram warga asing
RAWANG - Sebuah pusat cuci kereta diusahakan warga asing dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi yang diadakan di Tasik Biru Kundang, Kuang di sini, hari ini.
Bukan hanya beroperasi secara haram malah pengusaha tersebut mengalirkan air cucian terus ke kawasan semak menyebabkan berlakunya takungan air dan pembiakan jentik-jentik.
Pengusaha menggunakan generator untuk bekalan elektrik sementara sumber air pula tidak dapat dipastikan diperoleh dari sumber mana.
Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil berkata, premis dikenakan kompaun dan sitaan sebanyak lima kali termasuk dua kali pada tahun ini.
Bagaimanapun, menurutnya, tindakan tersebut tidak menyekat pengusaha premis tersebut meneruskan operasi berkenaan hingga memaksa tindakan lebih tegas diambil.
"Notis pengosongan diberikan sejak dua minggu lalu sebelum operasi dijalankan pada hari ini di premis yang beroperasi sejak tiga tahun lalu atas tanah persendirian.
"Operasi pusat cuci kereta diambil tindakan selepas dibangkitkan dalam mesyuarat selepas berdepan beberapa masalah termasuk halangan dan pencerobohan," katanya.
Menurutnya, terdapat permohonan permit dibuat untuk mengendalikan pusat cuci kereta itu secara sah namun ditolak.
"Ia mengambil kira aspek kebersihan selain kawasan itu sepatutnya dijadikan tempat letak kereta awam berikutan ia bersebelahan Tasik Biru Kundang sebagai lokasi riadah awam.
"Peralatan cuci kereta bernilai RM2,000 turut disita dalam operasi tersebut. Pemantauan berkala akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pencerobohan berulang dilakukan di kawasan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!