Simulasi berintensiti Olimpik
BARISAN pemain badminton negara perlu bersedia mengharungi pertandingan simulasi berintensiti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam mempersiapkan mental dan fizikal bagi saingan temasya tersebar dunia yang bakal bermula Julai depan.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, pertandingan berkonsepkan liga itu merupakan persediaan fasa terakhir pemain negara sebelum mengalas cabaran di Tokyo.
Namun, Choong Hann berkata, pengisian pertandingan pada kali ini berbeza dengan dua pertandingan simulasi yang dianjurkan badan induk badminton negara tahun lalu.
“Pertandingan berkonsepkan liga ini selain akan menerapkan konsep pungutan mata dan ganjaran juga mengenakan sistem 'denda' atau 'hukuman' kepada pemain.
“Skala pertandingan berkemungkinan tidak sebesar dua simulasi sebelum ini kerana fokus pertandingan bertujuan mewujudkan suasana 85 ke 90 peratus berintensiti pertandingan tinggi seperti Sukan Olimpik.
“Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk memastikan pemain-pemain negara dapat mengawal emosi terutamanya tekanan apabila berdepan dengan atmosfera sebenar pertandingan di Tokyo.
“Jadi saya amat berharap berbaki tujuh minggu ini, pemain-pemain negara akan menggunakan tempoh masa ini untuk memperbaiki segala kelemahan sebelum saingan sebenar bermula di Tokyo,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Sebelum ini dua kejohanan berintensiti tinggi iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura yang merupakan pentas memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibatalkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Ketiadaan dua kejohanan tersebut secara tidak langsung mengurangkan platform pendedahan kepada pemain-pemain negara yang memerlukan pertandingan kompetitif.
Sementara itu, BAM mengatakan Malaysia secara tidak rasmi umumnya mempunyai wakil dalam setiap acara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Namun menurut Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, pihaknya terlebih dulu perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum mengesahkan perkara berkenaan.
Jelas Kenny lagi, badan induk badminton dunia itu sebelum ini telah mengumumkan secara rasmi sesi kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berakhir pada 15 Jun depan.
“Situasi bermakna tiada lagi kejohanan pemburuan mata kelayakan yang akan dianjurkan dalam tempoh masa terdekat, sekali gus bermakna ranking kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak akan berubah.
“Perkembangan ini satu berita gembira buat kem badminton negara kerana secara tidak langsung membolehkan pemain-pemain negara fokus kepada persiapan ke Tokyo.
“Namun perlu diingat BAM perlu menunggu pengumuman rasmi daripada BWF dalam masa terdekat senarai permain-pemain yang sudah mengesahkan diri ke slot Tokyo 2020,” jelasnya.
Antara pemain negara yang dijangka mengalas cabaran negara di Tokyo adalah pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, Soniia Cheah; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Mengulas mengenai sesi latihan pemain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula Selasa lalu hingga 14 Jun depan, Kenny berkata, jadual latihan dalam kalangan pemain-pemain negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berjalan seperti yang dirancang sebelum ini.
“Pemain mengikuti latihan ditetapkan dengan pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP). Terima kasih Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan pihak kerajaan kerana membenarkan atlet badminton terus menjalani latihan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!