Geng curi kereta lama, kerusi Recaro tumpas

Shafa'aton menunjukkan antara individu yang ditahan beserta rampasan kenderaan susulan tumpasnya Geng Lee Honda, baru-baru ini.
Shafa'aton menunjukkan antara individu yang ditahan beserta rampasan kenderaan susulan tumpasnya Geng Lee Honda, baru-baru ini.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kegiatan Geng Lee Honda yang mencuri kereta lama dan kerusi kereta jenama Recaro sebagai hasil jenayah akhirnya tumpas dalam serbuan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, seramai 10 individu berusia 22 hingga 45 tahun termasuk seorang wanita berjaya diberkas dalam Operasi Lejang Khas di lapan lokasi berasingan di sekitar Rawang, Shah Alam dan Serendah bermula 22 Mei hingga 1 Jun lalu.

Menurutnya, operasi itu berjaya merampas 13 buah kereta dan dua motosikal pelbagai jenis yang dilaporkan hilang selain beberapa kerusi kereta Recaro dianggarkan bernilai RM300,000.

"Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan kereta lama jenis Honda Civic (Ferio), Proton Wira, Proton Satria, Proton Perdana dan Perodua Kancil, manakala bagi motosikal pula jenis Yamaha 125ZR serta Honda EX5 selain kerusi kereta jenis Recaro.

"Geng ini akan meleraikan kenderaan yang dicuri untuk mengambil kompenan sebelum dijual selain memotong ‘badan’ kenderaan itu untuk dijual di kedai barang lusuh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini hari ini.

Antara kerusi kenderaan jenama Recaro yang dirampas susulan tumpasnya Geng Lee Honda, baru-baru ini.
Antara kerusi kenderaan jenama Recaro yang dirampas susulan tumpasnya Geng Lee Honda, baru-baru ini.

Shafa’aton berkata, siasatan juga mendapati ada kenderaan yang dicuri itu digunakan sendiri oleh suspek.

Tambahnya, polis percaya geng yang telah beroperasi sejak Jun tahun lalu itu dipercayai terbabit dengan 30 kes curi kereta, 10 kes curi motosikal serta 27 kes curi kerusi kereta jenis Recaro di sekitar Sungai Buloh, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor serta Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan:

“Semakan dilakukan mendapati sembilan daripada 10 suspek yang ditahan memiliki rekod berkaitan jenayah dan dadah termasuk dalang kumpulan terbabit iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun yang mempunyai 33 rekod selain dua rekod dikehendaki," katanya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihaknya sedang mengesan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Amir Zaidan Muhamad Shahril dengan alamat terakhir di Rawang, bagi membantu siasatan.

Seorang individu dicari polis untuk siasatan kes Geng Lee Honda.
Seorang individu dicari polis untuk siasatan kes Geng Lee Honda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!