Isu komunikasi aduan tertinggi diterima MCMC
KUALA LUMPUR - Isu telekomunikasi merupakan aduan terbanyak yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada orang awam iaitu 76 peratus daripada 49,065 aduan pada tahun lalu.
Dalam kenyataannya hari ini, MCMC berkata sebanyak 17 peratus lagi melibatkan media baharu dan baki enam peratus berkenaan penyiaran serta perkhidmatan pos.
“Bagi tempoh Jun hingga Disember tahun lepas, kebanyakan penyedia perkhidmatan gagal mematuhi keperluan untuk menyelesaikan 90 peratus aduan dalam tempoh 15 hari bekerja.
“MCMC tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta syarikat penghantaran cepat yang didapati gagal menyediakan perkhidmatan pelanggan berkualiti kepada pengguna,” demikian menurut kenyataan itu.
MCMC telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam memastikan aduan ditangani secara berkesan dan cekap antaranya memastikan semua penyedia perkhidmatan menyerahkan Laporan Suku Tahunan Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan yang mengandungi ketepatan dalam menyelesaikan isu perkhidmatan pelanggan.
Ia juga termasuk meningkatkan Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (ICMS) yang menawarkan ketelusan kepada pengguna sepanjang proses penyelesaian dan pada masa sama memantau jangka masa penyelesaian aduan.
MCMC turut melaksanakan semakan semula Tata Amalan Kod Pengguna (GCC) bagi memperkukuhkan lagi langkah-langkah perlindungan pengguna serta menetapkan standard minimum berhubung tahap perkhidmatan yang disampaikan penyedia perkhidmatan.
“MCMC juga akan memperkenalkan garis panduan pampasan menjelang suku ketiga 2019 bagi memastikan pelan pampasan yang adil dilaksanakan untuk penguna dan penyedia perkhidmatan,” demikian menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan perkhidmatan berkualiti yang berterusan dalam kalangan penyedia perkhidmatan serta sektor pos dan penghantaran cepat, MCMC merancang untuk melaksanakan beberapa inisiatif lain dalam tempoh terdekat termasuk mengemas kini laman sesawang MCMC berhubung prestasi penyedia perkhidmatan.
MCMC juga akan menganjurkan anugerah penarafan bintang industri yang bertujuan mewujudkan budaya pematuhan serta menyediakan insentif bagi menambah baik prestasi penyedia perkhidmatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan Zulkarnain Mohd Yassin berkata MCMC melihat perkhidmatan pelanggan unggul daripada penyedia perkhidmatan sebagai prasyarat penting ke arah membina kepercayaan pengguna terhadap industri komunikasi dan multimedia.
Beliau berkata dengan peningkatan ketersambungan, perkongsian data dan maklumat, penyedia perkhidmatan mesti berada di barisan hadapan dalam melindungi kepercayaan pelanggan mereka menerusi perkhidmatan yang unggul.
“Sebagai pengawal selia, MCMC bertekad memastikan semua penyedia perkhidmatan memperkukuh kualiti perkhidmatan pelanggan mereka sebagai sebahagian usaha memastikan kemampanan industri serta kejayaan jangka panjang,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!