Azmin perjelas isu kekeliruan proses kebenaran operasi
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, surat kebenaran pengoperasian sektor dan perjalanan untuk bekerja hanya akan dikeluarkan menerusi Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi memberi pengesahan kepada MITI.
Menurutnya, MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.
"Sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.
"Setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan berkenaan, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0," katanya dalam Taklimat Media Mengenai CIMS 3.0 di sini pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: MITI perkasakan sistem keselamatan CIMS 3.0
Jelas Mohamed Azmin lagi, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh kementerian lain melalui sistem yang telah diwujudkan.
"Terdapat beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI. Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.
"Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab di atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan," katanya.
Sebelum ini wujud kekeliruan berhubung pengoperasian Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) apabila pemohon mendakwa keliru apabila diarah mengemukakan permohonan ke kementerian tertentu dan tidak lagi berpusat di MITI beberapa hari selepas pengumuman mengenai Sekatan Pergerakan Penuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!