Edar dadah: 'Janggut' akhirnya dicekup
SUNGAI BESAR - Seorang lelaki warga Myanmar yang amat dikehendaki polis kerana terlibat dalam pengedaran dadah diberkas dalam serbuan di Jalan Pantai, Bagan Sungai Besar, di sini, Selasa lalu.
Suspek berusia 44 tahun yang tiada dokumen perjalanan sah ditahan sepasukan polis pada jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek dikenali sebagai 'Janggut' itu bergiat aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini sejak empat tahun lalu.
"Semasa serbuan polis di port penagihan itu, suspek yang ketika itu berada di lokasi didapati dalam keadaan khayal.
"Polis turut menemui beg silang, dua paket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.
Nor Azmi berkata, jumlah berat keseluruhan dadah yang dirampas itu seberat 105.83 gram bernilai RM1, 500.
"Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis sama yang dirampas dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
"Suspek direman selama dua minggu bermula 20 Februari hingga 5 Mac depan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
Sementara itu, Nor Azmi berkata, seramai 56 individu ditahan melibatkan kes penyalahgunaan dadah di kawasan pesisir pantai Bagan Sungai Burung, sepanjang tahun lalu,
"Berdasarkan pecahan jumlah tangkapan, 30 daripadanya melibatkan Seksyen 12(2) ADB, manakala 17 (Seksyen 15(1)(A) ADB, 8 (Seksyen 39A (1) ADB dan 1 (Seksyen 39B ADB).
"Kawasan ini (Bagan Sungai Burung) bebas daripada sebarang kegiatan dadah berikutan operasi tanpa henti yang dijalankan pada tahan lalu.
"Malah, kami akan pastikan kawasan lain yang menjadi lubuk pengedaran dadah dibanteras hingga ke akar umbi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!