Hanya 1.57 juta pekerja berbanding 10.2 juta diberi kebenaran
KUALA LUMPUR - Hanya 128,150 syarikat melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara yang berdaftar dengan Intelligent Management System (CIMS) 3.0 diberikan surat kebenaran operasi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu adalah berdasarkan keseluruhan permohonan berjumlah 586,308 dengan 10.2 juta pekerja berdaftar dengan CIMS 3.0 setakat jam 7.30 pagi pada Khamis.
"Kalau mengikut keadaan biasa di luar PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jumlah 586,308 mempunyai tenaga kerja berjumlah 10.2 juta orang.
"Dalam keadaan sekarang, jumlah kebenaran yang diberikan adalah penurunan angka yang cukup besar dan mendadak untuk memastikan pergerakan dapat dikawal bagi menangani penularan Covid-19. Inilah sumbangan industri untuk bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melandaikan kes Covid-19,"katanya dalam Taklimat Media Mengenai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 di sini pada Khamis.
Mohamed Azmin berkata, dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang diumumkan, semua aktiviti ekonomi dan sosial adalah tidak dibenarkan kecuali 17 senarai perkhidmatan perlu dengan kapasiti tenaga kerja dihadkan kepada 60 peratus.
Katanya, sektor-sektor yang dibenarkan untuk beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) meliputi sektor pembuatan; pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi; pembinaan dan perdagangan pengedaran.
"Ini bermakna pelbagai sektor ekonomi di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Kerja Raya (KKR) dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!