Belum ada kes LSD di Terengganu setakat ini: JPV

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Belum terdapat kes penyakit kulit kental (LSD) dikesan pada haiwan ruminan di Terengganu setakat ini, kata Ketua Bahagian Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Wan A'aidah Wan Hashim.

Beliau berkata, meskipun pihaknya telah menerima dua laporan yang didakwa mempunyai kaitan dengan LSD pada Khamis dan 27 Mei lepas, namun ia masih tidak dapat disahkan dan siasatan sedang dijalankan.

"Kita masih menunggu keputusan makmal berhubung kes yang pertama itu dan perlu melalui pemeriksaan terperinci klinikal. Ia berkemungkinan besar bukan LSD," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Namun, beliau menasihatkan semua penternak agar sentiasa memantau keadaan kesihatan haiwan ternakan mereka dan segera melaporkan kepada JPV Terengganu sekiranya terdapat sebarang tanda LSD.

"Kegagalan penternak untuk melaporkan perkara itu atau menjual daging lembu yang berpenyakit boleh dikenakan denda RM25,000 mengikut Seksyen 31(4)(a) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013)," katanya.

Pada 26 April lepas, Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah dilaporkan mengesan 42 ekor lembu import dari Thailand dijangkiti LSD ketika dikuarantin di stesen kuarantin berdaftar di Bukit Kayu Hitam.

LSD adalah sejenis penyakit berjangkit yang menjangkiti lembu, kerbau dan haiwan ruminan liar tertentu disebabkan virus Poxviridae dan disebarkan melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan lalat.

Antara negara yang terkesan ialah Bangladesh, India, China dan yang terbaharu, Thailand. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!