Insentif Kerajaan Perak ringankan beban rakyat
IPOH - Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak menyifatkan bantuan khas yang disediakan kerajaan Perak menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera mampu meringankan beban kira-kira 400 pemandu bot pelancongan.
Yang Dipertuanya, Zamari Muhyi berkata, bantuan sekali bayar RM500 itu dapat menampung pendapatan pengusaha bot yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri melihat usaha pengusaha-pengusaha bot yang memeriahkan sektor pelancongan negeri.
"Bantuan itu sedikit sebanyak membantu dari segi penyelenggaraan bot selain kelangsungan hidup bagi bulan Jun ini meskipun pendapatan merosot sejak Januari lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurutnya, pihaknya mengharapkan kerajaan negeri dapat melihat bantuan sewajarnya bagi tempoh jangka panjang sekiranya PKP dilanjutkan.
"Industri ini tidak dapat bertahan dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Jadi apa yang diharapkan agar kerajaan dapat melihat nasib pengusaha bot pelancongan ini untuk mengharungi tempoh itu.
"Diharapkan bantuan itu juga dapat disampaikan kepada mereka yang layak seperti yang didaftar dengan Kementerian Pelancongan atau Tourism Perak Berhad," katanya.
Pada Rabu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan pemberian bantuan khas one-off RM500 kepada pemandu bot pelancongan di Pulau Pangkor, Temenggor, Teluk Intan, Kuala Sepetang dan Kampung Dew Kelip-Kelip dengan perbelanjaan sebanyak RM200,000.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh, Sharul Baha Abd Rahman berkata, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri untuk bulan Jun ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada penjaja dan peniaga kecil.
"Pengecualian sewa gerai dan bantuan sekali bayar RM300 itu hanya cukup-cukup makan dan bertahan untuk bulan ini sahaja, namun sekiranya PKP diteruskan, ia memang tidak mencukupi.
"Ahli sekarang ini terpaksa berniaga di tepi jalan untuk mencari pendapatan, malah ada yang mengambil cuti sementara. Namun pada hakikatnya ramai yang telah ikat perut sekarang ini," katanya.
Kerajaan negeri mengumumkan pengecualian sewaan gerai di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melibatkan 10,264 gerai manakala RM14.1 juta diperuntukkan untuk bantuan sekali bayar RM300 kepada 47,226 penjaja dan peniaga kecil yang berlesen untuk memulakan perniagaan selepas tamat tempoh PKP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!