Bukan bersifat rasis 'totok'
BOTA - Kaum lain tidak perlu bimbang melihat kerjasama yang dijalinkan antara UMNO dan Pas kerana ia tidak bersifat perkauman totok.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, walaupun terjalin kerjasama antara kedua-dua parti dalam memartabatkan Melayu dan Islam, mereka tidak pernah melupakan kaum lain.
"Kaum lain jangan bimbang, saya boleh tegaskan untuk masyarakat Cina dan India, walaupun nampak ada gabungan UMNO dengan Pas, kita masih faham negara ini merupakan negara pelbagai kaum.
"Tidak sesekali apabila kita bergabung, orang Cina dan India ditinggalkan, UMNO dan Pas tidak berfikir begitu kerana kita bukan rasis totok (bersifat perkauman totok)," katanya.
Mahadzir berkata demikian ketika sidang media selepas hadir pada Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Bahagian Parit 2019, di Dewan Dato' Ahmad Hambal, Bota Kanan, hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Muhammad Ismi Mat Taib, yang hadir pada perasmian berkenaan menyifatkan kerjasama antara Pas dan UMNO merupakan agenda memperkasakan Islam dan Melayu.
"Tidak dinafikan kerjasama strategik ini kita akan usahakan dalam memastikan Islam Melayu dapat mendominasi politik Perak khususnya dan Malaysia amnya," katanya.
Sementara itu, ditanya siapa yang akan mengetuai UMNO bagi PRK Rantau selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi calon di kerusi DUN tersebut, Mahadzir memaklumkan ia belum diputuskan.
"Belum bincang siapa akan mengetui UMNO kerana kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada PRK Semenyih dahulu, cuma yang pasti Tok Mat akan menjadi calon dan dia sendiri sudah mengumumkan akan mempertahankan kerusinya itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!