Perlu lebih masa bincang isu air Malaysia-Singapura: Saifuddin

Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan mengenai Perjanjian Air 1962 di antara Singapura dan Malaysia dilihat positif dan kerajaan optimis ia mampu diselesaikan dengan baik walaupun memerlukan lebih masa lagi sebelum dimuktamadkan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, paling penting mengenai isu air itu, kerajaan telah berjaya melangkah ke depan serta berjaya mengadakan pertemuan dan memulakan perbincangan dengan negara republik tersebut.

"Mengenai isu air ini, saya dengan Menteri Luar Singapura sedang mencari tarikh sesuai untuk bertemu dan berbincang lanjut dalam masa terdekat. Kesudian republik itu juga adalah sesuatu yang cukup memberangsangkan berbanding sebelum ini yang seolah-olah tiada perkembangan," katanya selepas merasmikan kampus baharu Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur di Ampang Hilir hari ini.

Semalam jurucakap Kementerian Luar (MFA) Singapura dalam kenyataan berkata, ketika pertemuan di antara Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 November 2018, kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan mereka untuk membenarkan pegawai masing-masing berbincang dengan lebih lanjut bagi lebih memahami kedudukan setiap pihak ke atas hak menyemak semula harga air bawah Perjanjian Air 1962.

Jurucakap itu berkata Peguam Negara dari kedua-dua negara kemudian mengadakan pertemuan pada Disember 2018, namun perbincangan mereka dibayangi oleh isu baharu yang timbul berhubung Had Pelabuhan Johor Bahru dan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen Seletar (ILS).

Saifuddin berkata bagaimanapun daripada lapan isu membabitkan Malaysia dan Singapura seperti isu ILS, Perjanjian Ruang Udara 1974, Maritim dan Had Pelabuhan, ada satu atau dua yang dilihat berpotensi untuk diselesaikan dalam masa terdekat.

"Buat masa ini saya melihat Isu Had Pelabuhan Johor Bahru merupakan satu daripada lapan isu membabitkan hubungan antara Malaysia dengan Singapura yang boleh diselesaikan terlebih dahulu.

"Saya percaya akan hubungan baik dengan Singapura dan setiap rundingan akan berjalan dengan lancar. Mengenai port limits ini, dijangka mampu selesai dalam masa terdekat berbanding isu air yang pada jangkaan saya akan ambil masa lebih lagi kerana ia agak rumit," tambahnya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!