Malaysia mungkin capai 26,000 kematian menjelang September
KUALA LUMPUR - Malaysia berkemungkinan mencapai 26,000 kematian berkaitan Covid-19 menjelang September ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata walaupun ia berdasarkan satu kajian, namun unjuran yang dibuat adalah tidak mustahil.
Dr Adham berkata demikian pada sidang media khas bersama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Ahli Majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dilapor mendedahkan satu kajian mendapati jumlah kematian berkaitan Covid-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September.
Menurutnya, anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini 2,993 setakat semalam.
Dr Adeeba turut dilaporkan berkata kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluatin (IHME) University of Washington itu menganggarkan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.
Menurut Dr Adham, kes sporadik Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 60 peratus yang dipengaruhi pergerakan manusia manakala 40 peratus adalah kes kluster.
Beliau berkata, antara pencetus kluster dalam komuniti adalah aktiviti membabitkan pelbagai sektor, aktiviti bulan Ramadan dan petugas perkhidmatan kurier kerana golongan ini banyak melakukan pergerakan.
“Virus ikut manusia. Apabila manusia bergerak, virus pun ikut,” katanya.
Sementara itu, Dr Adham berkata, Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun mula menunjukkan tanda positif dan selain ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan oleh beberapa kerajaan negeri dan KKM di seluruh negara kini berada pada tahap 100,000 sehari.
Beliau berkata, kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang berusaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tidak akan berhasil tanpa kebersamaan serta solidariti rakyat dalam tempoh sekatan pergerakan penuh ini.
“Kita ada peluang untuk menang dan semua pihak perlu membantu dan memainkan peranan mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!