Syarikat, premis tidak patuh arahan kerja dari rumah boleh dikompaun
PUTRAJAYA - Syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) terkini serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan diarah tutup serta merta selama tujuh hari dan dikompaun maksimum RM50,000, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.
Beliau berkata, pegawai penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini boleh mengkompaun syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR.
Dalam kenyataan pada Khamis, beliau berkata, kuasa mengkompaun itu diberikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) oleh Kementerian Kesihatan, berkuat kuasa 1 Jun lepas.
Menurutnya, tindakan itu susulan peningkatan ketara jumlah aduan yang diterima melalui aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah serta menguatkuasakan keperluan 40 peratus pekerja sektor swasta untuk BDR di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
KSM pada 3 Mei lepas melancarkan aplikasi WFW yang menjadi platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.
Saravanan berkata, sejak kategori BDR dibuka untuk aduan dalam aplikasi berkenaan pada 23 Mei lepas, sejumlah 1,121 aduan telah diterima oleh KSM sehingga semalam (2 Jun), manakala 1,767 aduan bagi kategori lain diterima bagi tempoh 3 Mei sehingga semalam.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, aduan membabitkan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat adalah sebanyak sebanyak 260 kes, pembuangan kerja tanpa notis (73 kes), tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (68 kes), katanya.
Antara negeri yang merekodkan jumlah aduan tertinggi adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 511 kes, diikuti Selangor (580 kes), Johor (223 kes), dan Pulau Pinang (134 kes), katanya.
"Pekerja dinasihatkan untuk terus menyalurkan aduan dan permasalahan yang dihadapi melalui aplikasi WFW dan mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!