Pengamal media perlu kemuka pas, surat berkaitan ketika lalui SJR

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengamal media yang melalui sekatan jalan raya (SJR), hanya perlu mengemukakan kad media serta surat berkaitan sebagai perakuan untuk menjalankan tugas, ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), akan memberi kerjasama dan memahami tugas pengamal media, untuk melaporkan maklumat penting kepada masyarakat dalam tempoh itu.

“Pengamal media tidak perlu risau ketika melalui SJR. Apa yang penting kemuka kad media dan surat berkaitan sama ada daripada majikan, Jabatan Penerangan atau Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dan ia sudah memadai,” katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.

Beliau berkata demikian berikutan kebimbangan pengamal media, sekiranya tidak melepasi SJR untuk bertugas dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh selama 14 hari, yang bermula 1 Jun.

Mengenai penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 berkaitan berita palsu, Saifuddin berkata sejak 12 Mac sehingga 30 Mei lepas, sebanyak 18 kes disiasat mengikut ordinan berkenaan, dengan empat daripadanya telah selesai.

Menurutnya, dua kes telah dituduh di mahkamah dan dua kes diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).

“Walaupun ada banyak laporan polis dibuat, namun kita amat berhati-hati menggunakan ordinan ini,” katanya.

Mengulangi ordinan tersebut bukan dilaksanakan untuk ditujukan kepada orang politik, Saifuddin berkata, “Kita tidak akan salah guna ordinan ini... memang ordinan ini digunakan untuk percepatkan siasatan, namun ia tidak bermakna kita akan langgar lunas undang-undang.”

Artikel Berkaitan:

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan, manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan, selepas sabitan.

Ordinan turut memberi definisi ‘berita tidak benar’ termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu, yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain, yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ia terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!