Pemilik kilang, 14 pekerja dikompaun tidak daftar MySejahtera

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Pemilik dua buah kilang memproses makanan haiwan di Mak Mandin di sini masing-masing dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan pekerjanya terutama warga asing untuk mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dalam Ops Bersepadu Pematuhan Covid-19 pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi pukul 12 tengah hari itu, selain majikan, polis turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,500 setiap seorang terhadap 14 pekerja yang tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Setiap majikan bertanggungjawab untuk memastikan pekerjanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan sekarang ini.

“Malah perkara paling asas adalah dengan memastikan pekerja mendaftar (imbas) menggunakan MySejahtera. Ini adalah tanggungjawab majikan, kerana kita tidak mahu sekiranya berlaku kes penularan Covid-19 maka menyukarkan pihak lain untuk melakukan pengesanan kontak rapat,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu pada Khamis.

Katanya, pihaknya menjalankan operasi tersebut secara berterusan dan berkali-kali, tetapi masih ramai lagi terutama warga asing yang berdegil dan tidak mengambil serius berhubung SOP, yang ditetapkan terutama tidak mengimbas MySejahtera.

Noorzainy berkata, sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 ini, pihak polis bersama agensi lain akan terus menjalankan pemeriksaan ke semua kilang yang dibenarkan beroperasi, untuk memastikan semua SOP ditetapkan dipatuhi.

Tambahan pula katanya, peningkatan kes Covid-19 ketika ini banyak datang daripada kluster kilang, dan sepatutnya majikan menjadi seorang yang bertanggungjawab untuk pastikan pekerjanya patuh pada SOP, dalam usaha membendung penularan wabak tersebut.

“Hari ini (Khamis) sebanyak 11 buah kilang di kawasan Mak Mandin kita periksa, dan mendapati dua daripadanya gagal mematuhi SOP ditetapkan, secara keseluruhannya jumlah kompaun yang dikeluarkan dalam operasi hari ini ialah sebanyak RM41,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi hari ini membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Dalam perkembangan lain Noorzainy berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya meletakkan penghadang konkrit di tiga laluan tikus di daerah itu, bagi menghalang percubaan orang ramai merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.

“Ia membabitkan lokasi di Kampung Terus, Sungai Dua yang bersempadan dengan daerah Seberang Perai Tengah, serta sempadan negeri kedah di Jalan Kampung Selamat-Bagan Serai dan Jalan Pinang Tunggal-Padang Serai,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!