Dr Mahathir utus surat kepada Agong minta campur tangan masalah rakyat
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau menulis surat secara peribadi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin lalu, meminta campur tangan Seri Paduka Baginda dalam menangani keluhan serta masalah rakyat ketika ini.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata, buat masa ini pihak istana masih belum memberikan sebarang jawapan balas terhadap surat rayuan diutuskan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong itu.
“Saya sendiri sudah tulis surat peribadi kepada Agong untuk Seri Paduka ambil campur tangan dalam selesaikan masalah rakyat. Itu pun belum dapat apa-apa jawapan dari istana,” katanya dalam sidang akhbar dalam talian menerusi platform Zoom bersama kepimpinan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) disiarkan secara langsung di Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga pengasas Pejuang berkata, parti berkenaan sehingga ke hari ini masih belum dapat didaftarkan dan sekiranya Pejuang mengikut lunas undang-undang, ia berhak diluluskan pendaftarannya.
“Kalau ia pun tak nak ada parti lawan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) supaya parti kerajaan boleh menang, beritahu pada kita,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut kesal dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 yang dilaporkan semakin serius walaupun selepas kerajaan melaksanakan darurat.
"Dengan angka kematian tertinggi semalam (Rabu) menunjukkan kes Covid-19 semakin teruk masa ini. Jelas sekali darurat bukan saja tidak dapat kurangkan wabak tetapi seolah-olah menggalakkan wabak ini lebih banyak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!