Duterte punca polis Filipina besar kepala
MANILA - Senator Filipina, Leila De Lima menuduh kelantangan Presiden Rodrigo Duterte dalam kempen perang dadah sejak 2016 menjadi punca anggota polis di negara itu besar kepala dan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan di luar waktu bertugas.
De Lima yang juga bekas ketua panel hak asasi manusia mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas insiden pembunuhan terbaharu membabitkan pegawai polis di Quezon City pada 31 Mei lalu.
Dalam kejadian itu, Sarjan Hensie Zinampan menembak mati jirannya, seorang wanita berusia 52 tahun dan insiden itu sempat dirakam cucu mangsa.
Menerusi rakaman yang tersebar di media sosial, Zinampan yang didakwa mabuk semasa kejadian menarik rambut Lilybeth Valdez sebelum melepaskan satu das tembakan yang menembusi leher mangsa.
Difahamkan, Zinampan pernah bertengkar dengan cucu mangsa dan beberapa kali mengugut keluarga tersebut.
Insiden kejam itu berlaku kira-kira enam bulan selepas pembunuhan seorang ibu dan anak lelakinya oleh pegawai polis berusia 46 tahun, Jonel Nuezca di Tarlac.
"Ini adalah pembunuhan kejam dan pelakunya pula adalah individu yang sepatutnya melindungi anggota masyarakat.
"Berapa banyak lagi nyawa yang harus melayang sebelum Duterte berhenti daripada menggalakkan polis melakukan lebih banyak keganasan dan pembunuhan?
"Arahan tembak dan bunuh dalam kempen perang dadah Duterte menjadi punca polis besar kepala dan bertindak di luar batas undang-undang," katanya.
Sementara itu, Istana Malacanang dalam satu kenyataan berkata, reputasi dan integriti pasukan Polis Kebangsaan Filipina (PNP) masih utuh di sebalik kecaman orang ramai berhubung insiden di Quezon City.
"Secara keseluruhannya profesionalisme PNP masih berada pada tahap terbaik dan mana-mana organisasi mesti terdapat pegawai yang kerap mencetuskan masalah," kata jurucakap istana, Harry Roque.
Ketua PNP, Jeneral Guillermo Eleazar telah mengarahkan polis di Quenzon City supaya memfailkan aduan pentadbiran terhadap Zinampan dan menegaskan pegawai terbabit akan didakwa atas tuduhan membunuh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!