MR DIY sertai konstituen FBM KLCI menggantikan Supermax

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruncit pembaikan rumah MR DIY Group (M) Bhd telah dimasukkan sebagai salah satu daripada 30 konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI untuk menggantikan pembuat sarung tangan getah Supermax Corporation Bhd.

FTSE Russell dan Bursa Malaysia Bhd dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata perubahan itu dibuat berikutan kajian separuh tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, yang dilakukan mengikut peraturan asas indeks berkenaan.

"Senarai rizab FTSE Bursa Malaysia KLCI yang terdiri daripada lima juzuk tertinggi indeks mengikut permodalan pasaran adalah Westports Holdings, QL Resources, Supermax, Kossan Rubber dan Inari Amertron," katanya.

Senarai rizab itu akan digunakan jika satu atau lebih konstituen dinyahkan daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI mengikut peraturan asas indeks dalam tempoh sehingga kajian separuh tahun akan datang.

Katanya, Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 menyaksikan lima konstituen baharu iaitu D&O Green Technologies, Greatech Technology, Hong Leong Industries, Supermax dan UMW Holdings manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah menerima MR DIY Group dan Press Metal Aluminium Holdings.

Akan ada 39 inklusif dan lima pengecualian bagi Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS, memperluaskan bilangan konstituen kepada 316.

"Syarikat yang baru dimasukkan juga akan dinilai prestasi, pendedahan tadbir urus sosial dan korporat (ESG) mereka selaras dengan Model Penarafan FTSE4Good dalam kitaran semakan seterusnya," katanya.

Syarikat yang memenuhi kriteria kemasukan dengan menangani dan meletakkan langkah-langkah bagi mengurangkan risiko ESG mereka akan dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Semua perubahan konstituen akan berkuat kuasa pada 21 Jun 2021 dan kajian seterusnya akan berlangsung menjelang Disember tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!