Kerja naik taraf LTSAS bermula Disember ini
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, kerja-kerja menaik taraf itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun tahun hadapan, meliputi kemudahan asas penumpang selain kawasan operasi kapal terbang dan helikopter.
"Kerja-kerja menaik taraf ini dilakukan selepas kita melihat peningkatan yang berlaku khususnya merujuk kepada bilangan penumpang di LTSAS.
"Dengan lebih ramai pengunjung yang datang, kita rasa mereka tidak boleh diletakkan di lapangan terbang dengan kemudahan sedia ada sahaja, dan untuk itu kerja-kerja menaik taraf itu perlu dibuat," katanya semasa menjawab soalan tambahan Ong Boon Piow (DAP-Bercham) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.
Boon Piow ingin tahu mengenai kerja menaik taraf yang akan dijalankan khususnya bagi menjamin keselesaan penumpang yang menggunakan perkhidmatan di LTSAS.
Kar Hing berkata, kerajaan negeri juga sedang giat melakukan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan dalam dan luar negara untuk mewujudkan lebih banyak destinasi penerbangan ke Ipoh, sekali gus mampu meningkatkan lagi kedatangan pelancong.
Menjawab soalan tambahan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) berkaitan pembangunan pelancongan di kawasannya, Kar Hing berkata, perkara itu akan diberikan diberi perhatian memandangkan Pengkalan Hulu bersempadan dengan Thailand.
Beliau berkata, pembangunan bandar secara sistematik di kawasan itu dilihat berpotensi untuk menarik kedatangan pengunjung, terutamanya pelancong asing.
"Ditambah pula dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Betong, Thailand yang akan siap sepenuhnya pada hujung tahun depan, kita fikir peluang ini harus digunakan untuk menarik pelancong luar datang ke Pengkalan Hulu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!