'Lockdown': Keputusan 'pertembungan' dua kelompok dalam kabinet
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan, kerajaan sudah melakukan sebaik mungkin dalam usaha menangani penularan Covid-19.
Namun, beliau mengakui kerana kurang pengalaman dalam menangani isu besar seperti itu maka wujudnya dua kelompok pemimpin dalam kerajaan yang mempunyai pandangan dan keputusan yang berbeza.
"Kita tidak ada pengalaman operasi secara manual yang menunjukkan apa perlu dibuat kalau sesuatu itu berlaku kerana pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui mana-mana kerajaan sekalipun.
"Namun setelah lebih setahun kita mengalami masalah ini tentunya kita sudah ada banyak pengalaman yang boleh kita belajar contohnya daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.
"Kita tahu apa perkara perlu dibuat untuk memudahkan lagi kita melandaikan kes-kes positif Covid-19 tetapi pelajaran yang kita alami ketika itu adalah dari segi ekonomi dan kelangsungan ekonomi itu dapat diteruskan. Jadi di sini saya lihat ada dua kelompok di dalam kerajaan sendiri," katanya.
Beliau yang juga lebih mesra dikenali sebagai Peja berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-262 bertajuk ‘Cabaran Covid-19 #KitaLaluiBersama' yang disiarkan secara dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
Wacana turut menampilkan Naib Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddene dan pengasas Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Perak itu berkata, dua pihak terbabit ialah satu pihak berpandangan bahawa perlu diadakan 'total lockdown' yang bermaksud Ismail juga tidak boleh berada di studio atau di pejabat pada waktu ini.
Katanya lagi, sementara satu lagi pihak pula memikirkan enjin ekonomi itu dapat terus berjalan agar kelangsungan hidup itu dapat diteruskan maka dua perkara tersebut perlu diseimbangkan.
"Jadi inilah permasalahan di peringkat kabinet. Walaupun saya sebenarnya tidak berada di dalam kerajaan tetapi itulah saya nampak ada dua pertembungan dan akhirnya kerajaan mengambil keputusan untuk membuat satu 'lockdown'," katanya.
Beliau berkata, di Malaysia walaupun sektor-sektor tertentu dan sebagainya dibenarkan dibuka tetapi rakyat mesti ingat yang memohon untuk beroperasi adalah lebih daripada 10 juta orang namun yang dibenarkan sekitar 15 peratus sahaja.
"Tidak sampai 2 juta pekerja yang terlibat. Jadi saya fikir ini satu perkara yang perlu kita fahami kerana Malaysia ini adalah sebuah negara yang membangun.
"Kita juga perlu seimbangkan masalah-masalah seperti jika kita melaksanakan 'total lockdown' akan mengakibatkan pengangguran menjadi begitu tinggi, perniagaan menjadi terlalu rugi sehingga menyebabkan pelabur berada dalam kesusahan dan ini mungkin akan datangkan keburukan dalam jangka masa lebih panjang," katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju sekiranya sektor-sektor yang terlibat itu dibuka, ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana ancaman Covid-19 adalah serius dan perlu ditangani secara bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!