Sindiket judi dalam talian kaut untung sehingga RM600,000 sebulan
ALOR SETAR - Lapan lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara China yang disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian (online calling centre) ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Gunung Tahan, Kuala Kedah pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, siasatan awal mendapati kesemua tangkapan berusia lingkungan 21 tahun hingga 36 tahun itu mengaku menjalankan aktiviti penipuan pelaburan mata wang asing dan krypto.
Menurutnya, pihak polis juga berjaya merampas beberapa unit komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa unit mobile WiFi disyaki digunakan untuk tujuan menipu mangsa.
“Kesemua tangkapan dipercayai dibayar gaji sejumlah lebih kurang RM3,000 sebulan.
“Aktiviti ini telah dikesan aktif beroperasi selama lebih kurang dua bulan dan telah mengaut keuntungan berjumlah antara RM500,000 dan RM600,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Roze berkata operasi tersebut dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kedah pada jam 3 petang hari kejadian selepas memperolehi maklumat berhubung kegiatan tersebut.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan oleh sindiket tersebut adalah setiap ahlinya akan mewujudkan satu Grup Kumpulan Whatsapp dan mempromosikan pelaburan dengan cara berinteraksi secara dua hala supaya pelanggan lebih yakin untuk melabur.
“Ahli sindiket ini kemudian akan memperdayakan mangsa untuk melabur di dalam laman sesawang ‘bittbay88.com’ sebelum menipu mangsa. Sindiket ini juga menyasarkan mangsa dari negara - negara di benua Asia.
“Semakan mendapati dua lelaki yang ditangkap ini masih dikehendaki oleh pihak polis (wanted person) berkaitan kes dadah dan juga Akta Imigresen,” ujarnya.
Mohd Roze berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut dan pihaknya menyarankan supaya masyarakat lebih berwaspada dalam melayari sebarang laman sesawang dan mengelakkan diri daripada terpedaya dengan sindiket penipuan.
“Siasatan dijalankan di bawah peruntukan undang – undang membabitkan Akta Pertaruhan 1953, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan 2021),” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!