Penyebar khabar angin perlu 'diajar’
SEPANJANG tempoh negara dilanda pandemik setahun lalu, banyak perkara perlu diberi tumpuan oleh kerajaan.
Vaksin, penempatan dan rawatan kepada mangsa Covid-19 adalah antara isu yang diberi perhatian hinggakan hampir setiap hari kita didedahkan dengan berita dan hebahan mengenai isu tersebut.
Namun, sejak akhir-akhir ini Merak Jalanan mendapati terdapat segelintir rakyat Malaysia yang kreatif memutar belit fakta termasuk mencipta berita tidak sahih.
Bayangkan, setiap hari ada sahaja khabar angin yang disebarkan melalui media sosial dan aplikasi lain yang dilihat cuba mencetuskan panik orang ramai.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu audio berdurasi dua minit 48 saat yang menyatakan seramai 40 orang jururawat meninggal dunia dan mendakwa vaksin Covid-19 adalah racun – satu dakwaan yang tidak benar sama sekali.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikannya dan menasihati masyarakat agar tidak berkongsi dan mempercayai maklumat yang tidak benar.
Terbaharu, di Melaka, satu video tular kononnya sebuah keluarga meninggal dunia di Taman Merdeka yang dikaitkan dengan Covid-19.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad menafikannya dan mengatakan pihaknya tidak menerima laporan kes berkenaan.
Persoalannya, siapakah yang menjadi dalang penyebaran berita palsu ini? Apakah wujud pangkalan atau pusat penyebaran berita tidak benar dipelopori orang tertentu yang mempunyai agenda?
Penyebaran khabar angin semakin melampau apabila pencipta berita tidak sahih semakin galak mencipta kejutan.
Hampir setiap hari wujud rakaman suara kononnya jika orang ramai keluar selepas jam 8 malam sepanjang PKP 3.0, mereka akan ditangkap.
Merak Jalanan menagih ketegasan pihak berkuasa untuk menyiasat dan menangkap mereka terlibat menyebar berita yang bukan sahaja mendatang panik tetapi dilihat mahu menimbulkan kebencian kepada kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!