Tindakan FAM tidak 'bunuh' peluang pemain tempatan

Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi antara pemain naturalisasi Harimau Malaya.
Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi antara pemain naturalisasi Harimau Malaya.
A
A
A

SEMUA pihak perlu memandang positif keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membuka pintu seluas-luasnya untuk membawa masuk lebih ramai pemain kacukan dan naturalisasi dalam pasukan Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, ia langkah perlu bagi memastikan pasukan kebangsaan dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

Malah, kehadiran ramai pemain kacukan dan naturalisasi itu tidak membunuh peluang pemain tempatan untuk beraksi di peringkat antarabangsa sebaliknya menjadikan mereka lebih berdaya saing untuk memberikan cabaran kepada pemain kacukan dan naturalisasi.

"Saya tidak nampak sebarang elemen negatif dengan tindakan FAM sedia membawa masuk lebih ramai pemain kacukan dan naturalisasi ini. Malah, pasukan akan bertambah baik dalam semua segi selain kita akan lebih mampu bersaing di peringkat tertinggi.

"Malah, saya juga percaya kualiti pemain tempatan juga akan meningkat dan mereka akan bersaing dengan pemain naturalisasi serta kacukan ini untuk mendapatkan tempat dalam pasukan Harimau Malaya," katanya kepada Sukan Sinar.

Pada Rabu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk itu sedia untuk memberikan ruang kepada mana-mana pemain terutama dari luar negara yang mempunyai kualiti terbaik untuk mewakili skuad kebangsaan sebagai usaha menambah kekuatan sedia ada.

Skuad negara ketika ini dibarisi tiga pemain naturalisasi dan tujuh pemain kacukan untuk menggalas misi di kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Namun, sesetengah pihak mempertikaikan tindakan FAM membawa masuk pemain kacukan dan naturalisasi dengan menyifatkan ia tidak patriotik selain menutup peluang untuk pemain negara beraksi bersama Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sathianathan yang pernah mengendalikan skuad negara pada tahun 2007 sehingga 2009 menjelaskan sekiranya pasukan negara berada pada tahap terbaik dan menang banyak perlawanan di peringkat antarabangsa, ia akan memberikan lebih banyak nilai tambah kepada industri bola sepak negara.

"Saya percaya apabila pasukan Harimau Malaya menjadi kuat, kita akan menang lebih banyak perlawanan dan mendapat kejayaan. Ia akan mewujudkan rantaian dan memberikan lebih banyak impak positif terutama kepada pembangunan bola sepak negara.

"Banyak perkara baik akan terhasil seperti industri bola sepak kita akan meningkat, lebih ramai yang akan minat main bola dan kualiti pemain kita juga akan tinggi dan boleh dihantar beraksi di luar negara.

"Saya ingat dulu, semasa saya mengendalikan pasukan kebangsaan. Ada beberapa pemain naturalisasi yang layak bermain untuk pasukan negara.

"Namun, pada masa itu FAM mempunyai prinsip utamakan pemain tempatan. Sekarang ini, kita dah nampak prinsip itu berubah dan saya yakin kita akan melihat sinar baharu kepada pasukan kebangsaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!