Demi PSM...
"PADA dasarnya untuk meletakkan jawatan bukan satu masalah kepada saya demi menyelamatkan PSM. Pemimpin datang, pemimpin pergi, namun badan induk sepak takraw yang mempunyai sejarah dekat dengan hati pengait takraw ini harus dikekalkan dan dipertahankan pada masa depan."
Itu reaksi Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail kepada Sukan Sinar pada Khamis ketika diminta mengulas desas-desus beliau akan melepaskan jawatan badan induk sepak takraw negara tersebut dalam masa terdekat.
"Keputusan muktamad akan saya buat selepas subuh pagi Jumaat, yang kemudiannya diumumkan pada malam esok (ini), Insya-ALLAH," kata Ahmad lagi.
Ahmad sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan 15 tahun daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas panel Jawatankuasa Disiplin badan induk sepak takraw Asia itu mendengar empat pertuduhan ke atasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat kini digantung 17 tahun
Antara pertuduhan tersebut adalah melanggar Perlembagaan ASTAF, apabila Ahmad didakwa menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF pada 24 Februari.
Bagaimanapun tindakan Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengambil pendekatan berdiam diri terhadap tempoh rayuan 14 hari, selain arahan untuk melunaskan kos perbicaraan ke atasnya yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625) diputuskan ASTAF sejak 6 Mei, menjadikan tempoh hukuman penggantungannya kini menjadi 17 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini.
Kemelut melanda komuniti sepak takraw itu diburukan lagi apabila 10 ahli gabungan PSM mengambil tindakan menarik diri daripada badan induk itu dan menyokong penubuhan persatuan sepak takraw baharu bagi mengantikan PSM.
Tindakan diambil dipercayai selepas ahli gabungan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PSM dalam menyelesaikan kemelut yang melanda dengan ASTAF.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!