Ahli Parlimen rayu waktu operasi UTC Labuan dipanjangkan
LABUAN - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli merayu Kementerian Kewangan agar mempertimbangkan untuk memanjangkan waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini.
Surat rayuan telah dihantar kepada kementerian itu ekoran rungutan orang ramai yang menghadapi kesulitan untuk menggunakan kemudahan di situ terutama kemudahan kesihatan selepas waktu pejabat jam 5 petang.
Selain menempatkan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen, UTC Labuan juga mempunyai beberapa Klinik Kesihatan yang mendapat sambutan ramai bukan sahaja daripada penduduk Labuan tetapi juga penduduk yang tinggal berhampiran seperti dari Miri, Sarawak dan beberapa bahagian Menumbok dan Kuala Penyu.
“Kami merayu pihak kementerian untuk memertimbangkan permintaan kami ini berdasarkan permintaan tinggi daripada pelbagai lapisan masyarakat yang kerap menggunakan kemudahan Klinik Kesihatan di situ khususnya selepas jam 5 petang,” katanya pada sidang media selepas melawat klinik di situ, diiringi Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari hari ini.
UTC Labuan ialah antara beberapa UTC di seluruh negara termasuk di Kota Kinabalu, Keningau dan Tawau di Sabah, dan di Kuching, Miri dan Sibu di Sarawak), yang waktu operasinya dihad dan dipendekkan oleh Kementerian Kewangan dengan waktu rehat antara 11.30 pagi dan 2 petang mulai 22 Januari, manakala waktu operasi dari 8 pagi hingga 5 petang berbanding 8 pagi hingga 9 malam sebelum itu.
Rozman berkata bangunan UTC Labuan, yang bersambung dengan pasar basah dan kering sangat memberi manfaat kepada penduduk Labuan terutama mereka daripada golongan berpendapatan rendah kerana ia terletak berhampiran stesen teksi dan bas dan dilingkungi rumah-rumah kedai dan pasar raya.
Walaupun Labuan mempunyai beberapa klinik kesihatan swasta tetapi hanya dua sahaja yang dibuka hingga 10 malam manakala caj rawatannya pula dianggap tinggi oleh mereka yang berpendapatan rendah.
Dr Ismuni berkata klinik pesakit luar kini mendapat permintaan tinggi daripada penduduk. Klinik tersebut dikendalikan dua doktor, dua doktor gigi, beberapa pembantu pegawai perubatan dan seorang ahli farmasi.
“Berdasarkan perangkaan kami, bilangan pengunjung ke Klinik Kesihatan UTC melebihi bilangannya di Klinik Kesihatan Membedai, yang mencatat lebih 200 hingga 300 pasakit sehari manakala antara 70 dan 100 pelanggan pula bagi tempoh waktu 6 petang hingga 9 malam,” kata beliau.
Beliau berkata suasana di klinik itu sentiasa sibuk pada waktu dibuka dan seringkali penuh sesak dengan pesakit yang menunggu giliran untuk menderima rawatan antara pukul 8 pagi dan 5 petang.
Menurut Kementerian Kewangan, pemendekkan waktu operasi UTC di seluruh negara dapat menjimatkan kos.
Pada 12 Januari, Kementerian Kewangan mengumumkan semakan semula waktu operasi untuk tujuh UTC di seluruh negara untuk mengembalikannya semula kepada 1 tengah hari hingga 10 malam, berbanding waktu buka 8 pagi hingga 7 petang. Pemanjangan tempoh itu juga adalah berdasarkan maklum balas daripada orang ramai.
Perubahan waktu buka baharu yang dijadualkan akan dikuatkuasakan pada 22 Jan itu melibatkan tujuh UTC di seluruh negara yang terletak dalam kompleks beli-belah iaitu UTC Shah Alam, UTC Keramat, UTC Seremban, UTC Alor Setar, UTC Johor Bahru, UTC Kota Bharu and UTC Kuala Terengganu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!